39 Termasuk Penuntut IPT Ditahan Berpesta Dadah - Semasa | mStar

39 Termasuk Penuntut IPT Ditahan Berpesta Dadah

KUALA LUMPUR: Gara-gara khayal akibat dadah, seramai 36 orang termasuk enam penuntut 'merelakan' diri mereka ditahan sepasukan polis dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pudu Ulu, Cheras, awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, kesemua suspek yang berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun itu sedang khusyuk 'berpesta dadah' ketika serbuan dilakukan pada kira-kira jam 4 pagi.

"Mereka ini dalam keadaan berkhayal sambil berhibur mendengar lagu semasa serbuan. Mereka seolah-olah tidak sedar dan tidak melawan mahupun cuba melarikan diri apabila diberkas," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, daripada jumlah yang diberkas itu, seramai 29 orang adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

"Daripada jumlah itu juga, enam yang ditahan adalah penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di ibu negara...yang mana empat daripada pelajar terbabit adalah wanita," katanya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk beberapa biji pil eramin 5 dan ecstasy.

"Selain eramin 5 dan ecstasy, kita juga menemui beberapa paket kecil yang mengandungi serbuk syabu dan ganja. Dadah-dadah ini dilihat berselerakan di atas meja dan ada juga yang kita temui pada suspek-suspek terbabit," katanya.

Abdul Rahim berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati 34 daripada mereka positif dadah termasuk enam penuntut berkenaan.

"Siasatan awal juga mendapati mereka ini mengenali antara satu sama lain dan berkunjung ke pangsapuri ini untuk berhibur. Kita juga tidak menolak kemungkinan ada berlakunya aktiviti seks memandangkan dalam kumpulan ini terdapat wanita.

"Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Malaysia Bukan Sarang Pengganas - PM

default image

Pereka Grafik Didakwa Hina Sultan Johor

Artikel Lain