suria

Kenapa Tidak Memakai Jaket Keselamatan Ketika Menaiki Bot?

PULAU PINANG: Mungkin ramai antara kita sering abaikan satu pepatah yang sangat berguna dalam hidup; "Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis".

Tragedi perahu naga terbalik dan mengorbankan enam nyawa - lima nyawa pelajar dan seorang guru dari Sekolah Tinggi Chung Ling - di kawasan perairan Lebuh Macallum di sini semalam, membuktikan bahawa kita tidak pernah beringat sebelum kena.

Persoalan utama dalam tragedi ini ialah kenapa tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot?

Ini kerana tragedi lemas kerana tidak memakai jaket keselamatan ketika bot karam atau terbalik bukanlah satu insiden luar biasa atau baru berlaku di negara ini.

Tidak kurang dari lima kes seumpama itu pernah berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini termasuklah tragedi di Teluk Rumania di Johor yang pernah mengorbankan sembilan nyawa rakyat Pakistan pada tahun lepas. Namun ia seolah-olah tidak pernah memberi pengajaran kepada sesiapun.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob berkata menurut laporan yang diterima, ramai diantara pelajar yang menjalani latihan mendayung itu tidak memakai jaket keselamatan walaupun sepatutnya mereka wajib memakainya.

Katanya, faktor keselamatan tidak harus dipandang ringan dan polis akan menyiasat punca kejadian itu.

"Kita mendapat maklumat ramai pelajar tidak memakai jaket keselamatan termasuk yang ditemui mati lemas dan kita akan siasat perkara ini," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Seorang mangsa yang terselamat, Kuah Zi Xun, 17, mengakui kebanyakan mereka sememangnya tidak memakai jaket keselamatan dan mereka mengetahui bahawa jaket itu tidak cukup untuk semua pendayung.

"Kami tidak disuruh pakai jaket keselamatan kerana kami hanya berlatih," kata beliau.

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Danny Law Heng Kiang yang melawat tempat kejadian berkata beliau dimaklumkan bahawa pelajar terbabit tidak dibekalkan jaket keselamatan kerana menganggap ia hanyalah sesi latihan dan bukannya berlumba.

Katanya sesi latihan itu diuruskan kelab mendayung sekolah berkenaan dan sekolah itu sendiri yang memilih tempat latihan tersebut.

Pengetua sekolah, Chuah Yau Chou ketika ditanya mengenai kenapa pelajar terbabit tidak memakai jaket keselamatan, beliau cuma menjawab: "Semuanya masih dalam siasatan".

Pengarah Pelajaran Negeri Ibrahim Mohammad ketika ditemui juga berkata, pengurusan sekolah itu didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan untuk menganjurkan aktiviti kokurikulum di luar sekolah kerana tidak memaklumkannya kepada pasukan keselamatan.

Sebenarnya, bot diatas air boleh terbalik atau karam atas pelbagai faktor seperti terlebih muatan, dipukul ombak ataupun terbakar dan disebabkan risiko itu boleh berlaku pada bila-bila masa, nyawa penumpang harus diberi keutamaan dengan mewajibkan mereka memakai jaket keselamatan.

Tragedi yang meragut nyawa guru dan pelajar Sekolah Tinggi Chung Ling itu cuma mengulangi satu lagi episod sedih dan kesal kerana kematian pelajar dan guru itu dapat dielakkan sekiranya mereka memakai jaket keselamatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain