suria

Penjenayah Kes Curi Kereta Ditembak Mati

PETALING JAYA: Seorang penjenayah yang terbabit dalam lebih 10 kes samun kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang mati akibat ditembak oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan perindustrian Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Aisten Komisioner Omar Mammah, berkata Ng Meng Kee, 34, yang sedang menunggu perbicaraan kes bulan ini, mati di tempat kejadian ketika cuba melarikan diri daripada kepungan polis pada pukul 4 petang tadi.

Katanya, penjenayah itu, yang menaiki kereta Mercedes Benz yang dilaporkan curi di sini Ahad lalu, pernah ditahan di Pandamaran, Klang pada 13 November lalu dan didakwa di mahkamah bulan lepas atas kesalahan mencuri kenderaan mewah.

Bagaimanapun, penjenayah berkenaan dibebaskan atas ikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan pada 25 Januri ini, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Omar berkata pada kira-kira pukul 1.45 petang tadi, polis mengesan suspek ketika dia memasuki kereta berkenaan berhampiran bangunan Berjaya Times Square di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, suspek merempuh kereta anggota polis yang cuba menahannya dengan memecut laju dan melarikan diri.

Omar berkata hasil maklumat susulan, polis kemudian berjaya mengesan semula suspek di kawasan perindustrian Subang Jaya.

"Pihak polis bertindak mengejar suspek setelah enggan memberhentikan kereta yang dipandunya sebelum merempuh pagar sebuah kilang dan terbabas," katanya.

Katanya, suspek kemudiannya meluru keluar dari kereta terbabit dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis menyebabkan anggota polis terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan yang mana satu daripada tembakan itu mengenai kepala suspek.

Katanya, polis menemui sepucuk revolver yang digunakan suspek serta plat nombor pendaftaran kereta BGU 88 dalam bonet kenderaan itu.

"Pemeriksaan awal mendapati kereta Mercedes Benz milik menantu kepada pemilik kedai emas Tomei dilaporkan dicuri dari rumah mangsa di SEA Park di sini pada 10 JanUARI lepas," katanya.

Katanya suspek adalah salah seorang daripada lebih tiga anggota geng samun kenderaan kereta mewah di sekitar Lembah Klang.

"Modus operandi yang digunakan oleh mereka adalah dengan memecah masuk ke rumah mangsa tanpa disedari sebelum melarikan kereta milik mangsa atau memecah masuk rumah mangsa dan kemudian mengikat (mangsa) sebelum melarikan kereta pemiliknya," tambahnya. Mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain