suria

RM1 juta Syarat Lepaskan Bekas Madu Noraniza Idris

Mastura Bakar bersama peguamnya Roslizam Rahim pada prosiding hari kedua tuntutan fasakh terhadap suaminya Datuk Muhamad Mustafa Idrus -foto The Star Oleh MOHD SAHAR MISNI
Mastura Bakar bersama peguamnya Roslizam Rahim pada prosiding hari kedua tuntutan fasakh terhadap suaminya Datuk Muhamad Mustafa Idrus -foto The Star Oleh MOHD SAHAR MISNI
Mastura Bakar bersama peguamnya Roslizam Rahim pada prosiding hari kedua tuntutan fasakh terhadap suaminya Datuk Muhamad Mustafa Idrus -foto The Star Oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, 54, mengemukakan tuntutan balas tebus talak berjumlah RM1 juta dan hak penjagaan anak-anak sebagai syarat melepaskan isteri keduanya, Mastura Bakar, 24.

Tuntutan balas dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini berikutan tuntutan cerai fasakh yang difailkan oleh isterinya itu yang juga bekas madu penyanyi Noraniza Idris.

Bagaimanapun, Mastura sebagai plaintif memberitahu di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin bahawa dia tidak setuju dengan tuntutan balas tersebut kerana sepanjang perkahwinan mereka, dia tidak memperoleh apa-apa pun sebagai nafkah.

Defendan bagaimanapun tidak hadir pada hari kedua prosiding.

"Saya tidak setuju sama sekali dengan tuntutan balas yang dibuat oleh dia.

"Tidak ada apa yang diberi kepada saya, semua perkara buruk yang berlaku adalah berpunca daripada dia, kenapa saya perlu beri RM1 juta.

"Dia tidak pernah bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak saya juga tidak kenal itu ayah dia," katanya ketika membantah tuntutan balas yang dikemukakan peguam syarie Zaidi Ibrahim yang mewakili suaminya.

Mastura memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan tuntutan fasakh yang dikemukakannya di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Tuntutannya itu difailkan pada April tahun lalu .

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata terbabit, turut mengemukakan lima laporan polis yang dibuat sepanjang perkahwinannya melibatkan dakwaan penderaan fizikal yang dilakukan oleh Muhamad Mustafa.

Lima laporan polis yang dibuat setiap tahun bermula tahun 2006 termasuk laporan melarikan anak dan pembantu rumah pada 20 Julai 2006, laporan lafaz cerai pada 10 Ogos 2008 dan penderaan pada 25 Januari 2008.

Mastura turut menyerahkan laporan perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas membuat laporan polis yang menyatakan bahawa dia mengalami lebam di siku dan lengan serta luka di lengan kiri akibat bergelut dengan suaminya.

Pada prosiding itu juga, Mastura menyerahkan surat tulisan tangan suaminya pada tahun 2008 sebelum menghilangkan diri.

Antara kandungan surat itu, Muhamad Mustafa mengakui kesalahan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, pernah menyakiti dan membuat penderaan fizikal kepada Mastura serta telah berlaku curang.

Dokumen lain yang dikemukakan oleh plaintif juga ialah resit pembayaran rumah sewa dan perbelanjaan harian anak-anak yang menggunakan duitnya sendiri, dokumen surat nikah suaminya bersama isteri, Milia Fitri; surat penceraian bersama bekas isteri ketiga, Norazni Arifin dan beberapa keping gambar suami bersama isteri dan teman wanitanya.

Ketika disoal oleh peguam syarie mewakilinya, Roslizam Rahim mengenai perasaan Mastura ketika mendapat tahu tentang perkahwinan dan hubungan suaminya bersama wanita lain, dia mengakui berperasaan marah, cemburu dan sakit hati.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun.

Kes itu ditangguh pada 12 dan 13 Januari di mahkamah yang sama.

Artikel Lain