suria

300 Nelayan Terjejas Akibat Bot Ikan Bilis

PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa Jabatan Perikanan Kedah mengambil tindakan sewajarnya terhadap bot-bot bilis di perairan Kuala Sanglang yang didakwa menjejaskan pendapatan kira-kira 300 nelayan pantai di kawasan itu.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata, berdasarkan pemantauan persatuan itu bot-bot bilis berkenaan tidak menangkap ikan bilis sebaliknya memukat ikan kembung untuk dijadikan baja.

"CAP difahamkan permintaan tinggi daripada pembekal baja ikan dari negara jiran menyebabkan kegiatan ini berlaku dan sebuah bot pukat ikan bilis mampu memerangkap kira-kira 20 tan metrik ikan kembung setiap kali beroperasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akibat kegiatan itu, Mohamed Idris berkata, hasil tangkapan ikan nelayan pantai di situ sekarang merosot daripada 60 kilogram sehari kepada hanya sekitar lima kilogram.

Beliau mendakwa keadaan sedemikian telah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Mohamed Idris juga menggesa pihak yang berkenaan agar memantau perairan Kuala Kedah dan Kuala Perlis yang didakwa diceroboh bot-bot pukat buaya.

"CAP amat kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh Jabatan Perikanan walaupun laporan mengenai kegiatan tersebut telah dibuat beberapa kali oleh nelayan-nelayan di kawasan berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain