suria

Nenek Tak Sangka Pinggan Pecah Petanda Cucu Lemas

SEBAK... Azrina Kamaruzaman (kiri), ibu kepada dua beradik yang lemas ketika mandi di Pantai Jeti Sura petang semalam, melihat jenazah anaknya Ahmad Amirul Hafiz Jaafar di Dungun, hari ini. -Foto BERNAMA
SEBAK... Azrina Kamaruzaman (kiri), ibu kepada dua beradik yang lemas ketika mandi di Pantai Jeti Sura petang semalam, melihat jenazah anaknya Ahmad Amirul Hafiz Jaafar di Dungun, hari ini. -Foto BERNAMA
SEBAK... Azrina Kamaruzaman (kiri), ibu kepada dua beradik yang lemas ketika mandi di Pantai Jeti Sura petang semalam, melihat jenazah anaknya Ahmad Amirul Hafiz Jaafar di Dungun, hari ini. -Foto BERNAMA

DUNGUN: Seorang wanita tidak menyangka pinggan yang dipegangnya terjatuh dah pecah semasa sedang menggoreng tiga hari lalu merupakan petanda kejadian buruk yang akan menimpa dua cucunya.

"Selepas kejadian pinggan pecah itu, saya rasa tidak sedap hati kerana kalau kata orang tua-tua dulu, jika pinggan dalam pegangan tangan kita jatuh, itu petanda sesuatu yang buruk akan berlaku," kata Dolha Mohamad, 60, nenek kepada Ahmad Amirul Hafiz Jaafar dan Ahmad Amirul Haikal, kedua-dua berumur 9 tahun yang hilang dihanyutkan ombak besar ketika bermain di laut di Pantai Jeti Sura di sini petang semalam.

Ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pantai Sura Jeti, 100 meter dari kawasan kejadian, Dolha berkata, sebelum kejadian pada pukul 5 petang, kedua-dua cucunya itu sedang bermain guli bersama tiga rakan yang lain di belakang rumah selepas belajar mengaji.

"Kemudian saya keluar sekejap ke kedai dan apabila menyedari datuknya sedang bersembahyang, mereka mengambil kesempatan mengajak kawan-kawan pergi ke pantai. Tidak lama selepas itu, saya diberitahu oleh jiran yang kedua-dua cucu saya itu lemas," katanya.

Ahmad Amirul Hafiz, yang dilahirkan pada 21 Mac 2000 dan Ahmad Amirul Haikal yang dilahirkan pada 19 Dis tahun yang sama, tinggal bersama Dolha dan suaminya sejak kecil bersama sepasang abang kembar mereka yang berumur 14 tahun.

Ibu kanak-kanak itu, Azrina Kamaruzaman, 30-an yang ditemui di kawasan kejadian, menangis setiap kali diajukan soalan oleh pemberita.

Azrina, yang tinggal di Taman Murni, Paka, 20 kilometer dari kawasan kejadian, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan kedua-dua anaknya itu ialah minggu lepas setelah mereka mengajaknya keluar berjalan-jalan setelah sekian lama tidak berbuat demikian.

Mayat Ahmad Amirul Hafiz ditemui terapung oleh pasukan penyelamat pada 8.45 pagi ini, 300 meter dari tempat kejadian. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sura Jeti selepas solat zohor.

Sehingga 3 petang tadi, Ahmad Amirul Haikal, belum ditemui dan gerakan mencari dijangka dilakukan sehingga malam ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika ditemui sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya jangan mandi di laut yang kini masih bergelora. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain