KLANG: Anak kedua kepada pasangan mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas ekspres di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) hala utara di Ipoh, Perak, awal hari ini, reda dengan pemergian kedua-dua ibu bapanya.Mohd Arif Andi Shaharin, 23, berkata, walaupun beliau dan adik-beradiknya berasa amat sedih tetapi menganggap pemergian itu sebagai suratan takdir dan satu ketentuan daripada Allah. Beliau tidak menyangka akan kejadian tersebut memandangkan bapanya Shaharin Mohd Nor, 61, sering berulang-alik ke utara atas urusan kerja dan ada kalanya ditemani oleh ibunya, Supiah Adam, 46.Katanya, sehari sebelum kejadian, bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori satu tan itu menyatakan untuk pergi ke Kuala Perlis menaiki bas atas urusan kerja untuk mengambil kenderaan tentera untuk dibawa ke Pelabuhan Barat di sini dan mahu ibunya ikut sama."Saat ibu bapa saya naik bas itu di hentian bas di Seksyen 17 semalam, itulah saat terakhir saya melihat mereka. Kami reda akan pemergian kedua orang tua kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Setia di sini hari ini.Pasangan suami isteri itu adalah antara sepuluh penumpang yang maut apabila bas dua tingkat Sani Express yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.Dua orang lagi tercedera dengan seorang daripadanya parah dalam insiden ituSelain Shaharin dan Supiah, dua lagi dari Selangor yang terkorban dalam insiden itu ialah Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dan Mohd Bilal Osman, 22.Menurut Mohd Arif, beliau bersama empat lagi adik beradiknya, Zuhairi, 24; Mohd. Helmi, 20; Shuhada, 17; dan Faiz, 14, telah pergi ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kematian ibu bapanya kira-kira jam 7 pagi tadi untuk menuntut jenazah mereka.Sementara itu, rakan karib Shaharin, Zaiain Bedin, 34, berkata, sebelum kejadian, Allahyarham menunjukkan sedikit perbezaan dari segi perwatakannya apabila sering dilihat berpakaian kemas dengan wajah yang berseri-seri ke tempat kerja.Sebelum ini katanya, Allahyarham Shaharin sering memakai pakaian seragam dan kali terakhir beliau menemui arwah itu pada Khamis lalu."Ketika itu, saya lihat Allahyarham ceria. Namun, saya tidak terfikir pula itu adalah kali terakhir saya menemui dan bercakap dengannya," katanya.Pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jalan Kebun dekat Pandamaran di sini kira-kira pukul 5 petang ini.Sementara itu, di Alor Setar, laporan menyatakan Ng Poh Ngoh, seorang lagi mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan baru sahaja menghadiri temuduga di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.Poh Ngoh, 23, dari Taman Desa Seraya, Alor Setar yang baru menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).Menurut adik mangsa, Ng Poh Yoke, kakaknya ke Kuala Lumpur ditemani adik bongsu mereka, Ng Kah Kit, 14, yang turut terbunuh dalam kemalangan itu, adalah pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) di sini."Mereka tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik malah sangat ceria semasa menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur pada 20 Disember lepas."Saya ada menegur kakak yang membawa selimut dan dia hanya menjawab mahu tidur sepanjang perjalanan," kata Poh Yoke kepada pemberita semasa ditemui di rumah keluarganya di taman tersebut. Poh Ngoh merupakan anak sulung daripada empat beradik. Bapanya, Ng Ching Beng, 47, ialah seorang peniaga barang hardware.Katanya, beliau mendapat tahu mengenai nahas itu yang membabitkan kakak dan adiknya daripada ibu angkatnya jam 10 pagi ini selepas mendengar berita mengenai kemalangan itu di radio.Poh Yoke berkata, ibunya, Lim Siew Heok, 45, dan bapanya bertolak ke Ipoh dengan ditemani rakan lelaki kakaknya kira-kira jam 8 pagi ini tanpa memberitahu beliau."Kakak saya menghadiahkan seekor hamster pada hari jadi saya Ogos lepas dan saya akan menjaga hamster itu dengan baik kerana itu adalah pemberian terakhir beliau kepada saya," kata Poh Yoke dalam nada sedih dan pilu.Pelajar kejururawatan di Kolej Kejururawatan Jerantut, Pahang itu berkata, beliau terkilan kerana kakaknya itu sepatutnya menerima ijazah pada konvokesyen UUM tahun depan.Sementara itu, bapa kepada Poh Ngoh, Ng Chin Beng, 62, berkata, anak perempuan sulungnya itu mempunyai masa depan cerah tapi nampaknya kini semuanya sudah berakhir.Bercakap kepada pemberita di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Chin Beng berkata, Poh Ngoh merupakan graduan bidang multimedia dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan merupakan anak harapan dalam keluarga.Dalam pada itu, anak sulung kepada pasangan Shaharin, Khairil Shahrin, 24, yang sempat ditemui di Ipoh berkata, bapanya sempat berpesan agar beliau menjaga adik-beradik yang lain semasa menghantarnya ke hentian bas di Shah Alam.Sementara itu, Abdul Ghafur Sukimi, 53, berkata, beliau bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini selepas menonton berita jam 7 pagi tadi yang menyiarkan nama anak saudaranya, Mohd Bilal Osman, 22, dan rakannya Mohd Shukri Mohd Ali, 22, terlibat dalam kemalangan itu."Saya terus menghubungi ibunya dan diberitahu perkara itu telah dimaklumkan pihak polis pada pukul 6.30 pagi tadi dan meminta saya menguruskan jenazah Mohd Bilal untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Sungai Besar, Selangor."Dua rakan karib yang meninggal ini tinggal berjiran dan dalam perjalanan pulang untuk mendaftar semester kedua di Universiti Malaysia Perlis (Unimap)," katanya. - BERNAMA