suria

Ahli Perniagaan Dirompak RM930,000

MIRI: Seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur membuat laporan polis semalam bahawa dia dirompak RM30,000 dan barang kemas bernilai RM900,000 ketika dalam perjalanan dengan teksi di jalan pesisir pantai Miri-Bintulu berhampiran Suai, kira-kira 115 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaludin Ibrahim hari ini berkata, ahli perniagaan berusia lewat 40-an itu membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Bintulu, tetapi kes itu dirujuk semula kepada daerah polis di sini.

"Berdasarkan laporan mangsa, kejadian berlaku di kawasan Suai yang terletak dalam bidang kuasa polis Miri," katanya.

Menurut ahli perniagaan itu, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari semalam apabila enam atau tujuh lelaki bertopeng yang menaiki dua kereta menghalang perjalanan teksi yang dinaikinya.

Katanya, perompak berkenaan bertindak memecahkan cermin teksi dan seorang daripada mereka mencekik lehernnya serta mengugutnya dengan sebilah pisau supaya menyerahkan barangan berharga yang dibawanya.

Kata ahli perniagaan itu, oleh kerana bimbangkan keselamatan dirinya, dia menyerahkan semua barang kemas berkenaan yang sepatutnya diagihkan kepada beberapa tukang emas di Bintulu serta wangnya kepada perompak terbabit sebelum mereka melarikan diri.

Selepas kejadian, dia meneruskan perjalanan ke Bintulu dan membuat laporan polis.

Berikutan kejadian itu, Jamaludin menasihati ahli perniagaan yang membawa wang atau barangan berharga dalam jumlah yang besar supaya menggunakan khidmat pengawal keselamatan apabila melakukan perjalanan jauh melalui jalan raya.

Beliau juga memohon kerjasama pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian rompakan itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain