suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Keputusan MPT4 bukan penentu masa depan akademik, asas pemberian sokongan kepada murid

Data MPT4 berpotensi membantu Kementerian Pendidikan mengenal pasti perbezaan hasil pembelajaran. -Gambar hiasan

KEPUTUSAN murid dalam Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) tidak bertujuan untuk menyusun kedudukan murid atau sekolah.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Ab Aziz Mamat berkata, keputusan itu sebaliknya bertujuan menjadi asas kepada pemberian sokongan kepada murid.

“Murid tidak seharusnya dilabel, dihukum atau dibandingkan berdasarkan keputusan mereka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan MPT4 juga tidak akan menentukan penempatan, aliran akademik atau kemasukan murid ke sekolah tertentu.

“Kemasukan ke sekolah tertentu akan terus menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK),” katanya kepada StarEdu.

Ab Aziz menggalakkan ibu bapa menggunakan keputusan berkenaan untuk memahami tahap penguasaan anak serta mengenal pasti bidang yang memerlukan pengukuhan atau sokongan lanjut.

Katanya, sekolah bertanggungjawab mencetak dan mengedarkan laporan kepada murid, ibu bapa serta penjaga untuk makluman dan tindakan susulan yang bersesuaian.

“Laporan ini mengandungi gred, tafsiran gred, domain mata pelajaran serta tahap penguasaan murid bagi setiap domain.

“Ibu bapa boleh berbincang mengenai keputusan itu dengan guru dan pihak sekolah, memberikan pengukuhan pembelajaran di rumah serta memantau perkembangan anak,” katanya.

Ab Aziz berkata, tanggungjawab melaksanakan dan memastikan kualiti intervensi perlu dikongsi antara guru, pentadbir serta pihak berkuasa pendidikan.

Ab Aziz berkata, tanggungjawab melaksanakan dan memastikan kualiti intervensi perlu dikongsi antara guru, pentadbir serta pihak berkuasa pendidikan.

Ab Aziz berkata, murid juga perlu menduduki MPT4 dengan tenang kerana pentaksiran berkenaan tidak menentukan masa depan akademik mereka.

Sebaliknya, katanya, MPT4 menjadi permulaan kepada proses mengenal pasti kekuatan dan kelemahan individu murid bagi membantu mereka menjadi pelajar yang lebih baik.

“Kementerian mahu pentaksiran ini berfungsi sebagai mekanisme untuk mengesan dan menyokong pembelajaran, dengan murid yang memerlukan bantuan dikenal pasti lebih awal.

“Pada masa sama, murid yang sudah menguasai kurikulum diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka dengan lebih lanjut,” katanya.

Mengenai proses pengukuran dan kriteria pentaksiran, Ab Aziz berkata, Matriks Pembelajaran menggunakan instrumen yang dibangunkan LP berdasarkan kurikulum kebangsaan serta konstruk yang ditetapkan bagi setiap mata pelajaran.

“Jawapan murid terhadap instrumen pentaksiran akan diberikan skor oleh guru berdasarkan panduan penskoran yang disediakan LP, tertakluk kepada proses jaminan kualiti bagi memastikan penskoran yang konsisten.

“Data pentaksiran kemudiannya dianalisis bagi menentukan tahap penguasaan murid serta mengenal pasti bidang pembelajaran yang memerlukan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, pentaksiran itu turut mengambil kira keupayaan murid menguasai pengetahuan dan kemahiran, khususnya literasi dan numerasi, selain mengaplikasikan perkara yang dipelajari melalui penyelesaian masalah, penaakulan dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Data untuk tindakan

Data yang diperoleh daripada keputusan Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) berpotensi membantu Kementerian Pendidikan mengenal pasti perbezaan hasil pembelajaran antara sekolah di lokasi berbeza, termasuk kawasan bandar dan luar bandar.

Ab Aziz berkata, data berkenaan boleh digunakan, apabila bersesuaian, untuk membantu membuat keputusan serta merangka intervensi mengikut keperluan dan keadaan setempat sesebuah sekolah.

“Data berpotensi menunjukkan bukan sahaja perbezaan antara bandar dan luar bandar, malah jurang pembelajaran lain yang membolehkan kementerian menambah baik aktiviti dan program sedia ada serta menyesuaikannya dengan keperluan pendidikan negara pada masa hadapan.

“Kerangka rasmi MPT4 turut membayangkan penggunaan data di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan bagi mengenal pasti pola tahap penguasaan murid, khususnya dalam literasi dan numerasi serta bidang yang memerlukan perhatian supaya program penambahbaikan dan intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar,” katanya.

Murid yang sudah menguasai kurikulum diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka. -Gambar hiasan

Murid yang sudah menguasai kurikulum diberikan peluang untuk mengembangkan potensi mereka. -Gambar hiasan

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 untuk memastikan akses kepada pendidikan yang inklusif, saksama dan berkualiti untuk semua murid.

Menurutnya, dapatan Matriks Pembelajaran akan diterjemahkan kepada tindakan susulan melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah.

“Intervensi boleh merangkumi bimbingan dan pengukuhan semasa PdP, sokongan pemulihan bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran asas, pengayaan bagi murid yang sudah menguasai kandungan pembelajaran serta sokongan bersasar mengikut keperluan setiap murid,” katanya.

Ab Aziz berkata, tanggungjawab melaksanakan dan memastikan kualiti intervensi itu perlu dikongsi antara guru, pentadbir sekolah serta pihak berkuasa pendidikan.

“Guru bertanggungjawab merancang intervensi, mengenal pasti keperluan pembelajaran dan melaksanakan intervensi yang dirancang, manakala pentadbir sekolah memastikan tindakan susulan dirancang serta dilaksanakan mengikut perancangan.

“Di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pemantauan serta sokongan profesional diberikan kepada sekolah berdasarkan keperluan,” katanya.

Beliau berkata, LP dengan kerjasama bahagian berkaitan di Kementerian Pendidikan termasuk Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas), Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Bahagian Pendidikan Swasta (BPSwasta) dan Jemaah Nazir (JN) akan melaksanakan jaminan kualiti.

Langkah itu bertujuan memastikan sokongan intervensi dilaksanakan secara adil dan berkesan.

Artikel Lain