PELAKSANAAN Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) bertujuan mengenal pasti jurang pembelajaran murid lebih awal supaya tindakan intervensi dapat dilaksanakan sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), Ab Aziz Mamat berkata, langkah itu penting bagi memastikan isu pembelajaran di peringkat sekolah rendah dapat ditangani selewat-lewatnya pada akhir Tahun Enam. Menurutnya, MPT4 bukan bertujuan menentukan masa depan akademik murid, sebaliknya membantu guru mengenal pasti kelemahan pembelajaran untuk diberikan sokongan bersesuaian.“Matriks Pembelajaran ini perlu difahami dalam perspektif yang betul.“Pentaksiran ini bukan untuk menentukan masa depan akademik murid, tetapi memastikan jurang pembelajaran dikenal pasti lebih awal supaya tindakan boleh diambil,” katanya.MPT4 akan dilaksanakan pada Oktober ini dan membabitkan enam mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Bahasa Cina bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).MPT4 diperkenalkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pelancaran Pelan Pendidikan Negara 2026-2035 pada 20 Januari lalu.Ab Aziz berkata, MPT4 dan Matriks Pembelajaran Tingkatan Tiga (MPTg3) yang akan diperkenalkan tahun depan bukan penilaian baharu atau pengganti kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).Katanya, pelaksanaan MPT4 secara berpusat oleh LP, bukannya sekolah, juga bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pentaksiran berkenaan.“Melalui MPT4, guru dapat mengenal pasti bidang yang menjadi kesukaran murid dan merancang intervensi bersesuaian bagi menangani kelemahan itu ketika Tahun Lima dan Tahun Enam,” katanya kepada StarEdu.Beliau berkata, pelaksanaan MPT4 berasaskan konsep pentaksiran untuk pembelajaran bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid, sekali gus membolehkan intervensi berterusan serta sokongan bersasar diberikan dengan lebih berkesan.Menurutnya, keputusan MPT4 akan memberikan gambaran lebih terperinci mengenai pencapaian murid mengikut domain, bukannya sekadar skor keseluruhan.“Sebagai contoh, satu kumpulan murid mungkin menghadapi kesukaran dalam satu domain, manakala kumpulan lain memerlukan sokongan dalam domain berbeza.“Sekolah kemudiannya boleh memberi keutamaan kepada kumpulan tertentu dan memberi tumpuan kepada pembangunan potensi mereka berdasarkan domain yang dikenal pasti melalui keputusan MPT4,” katanya.Bukan ganti UASAAb Aziz berkata, murid tidak memerlukan persediaan khas untuk menduduki MPT4 kerana pentaksiran itu berdasarkan pembelajaran yang telah mereka lalui dari Tahun Satu hingga Tahun Empat.Katanya, MPT4 juga tidak memperkenalkan kandungan di luar skop pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah.Beliau menjelaskan MPT4 bukan pengganti Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), sebaliknya kedua-duanya mempunyai tujuan berbeza dan saling melengkapi dalam menilai tahap penguasaan serta perkembangan pembelajaran murid.“MPT4 ialah pentaksiran berpusat yang mengukur penguasaan literasi, numerasi dan kompetensi berdasarkan standard pembelajaran kebangsaan.“UASA pula sebahagian daripada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dilaksanakan pada akhir sesi akademik bagi menilai tahap pencapaian murid berdasarkan kurikulum yang telah dipelajari,” katanya.Beliau berkata, murid Tahun Empat akan menduduki kedua-dua pentaksiran berkenaan.Bagaimanapun, mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi murid SJK yang dinilai dalam MPT4 tidak akan dinilai melalui UASA.Ab Aziz turut menegaskan MPT4 bukan pentaksiran berisiko tinggi dan tidak bertujuan menggalakkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan atau menambah beban tugas guru.Katanya, guru akan diberikan garis panduan pengurusan, bahan penerangan, taklimat operasi dan jaminan kualiti, latihan profesional serta contoh item pentaksiran.LP, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula akan menyediakan bimbingan, pemantauan serta sokongan teknikal secara berterusan.Menurut Ab Aziz, sekolah juga boleh melaksanakan program intervensi di luar PdP formal sekiranya diperlukan.“PdP formal sudah mempunyai kurikulumnya sendiri, tetapi program pemulihan, pengayaan dan intervensi lain yang bersesuaian dengan kelemahan murid boleh dilaksanakan sekolah ketika murid berada di Tahun Lima dan Tahun Enam,” katanya.Beliau berkata, pendekatan berkenaan membolehkan murid menerima sokongan berdasarkan keperluan masing-masing tanpa menjejaskan pelaksanaan kurikulum sedia ada.Persediaan ke arah pentaksiran antarabangsaDalam pada itu, Ab Aziz berkata, MPT4 turut direka dengan mengambil kira keperluan murid untuk menghadapi pentaksiran antarabangsa pada peringkat seterusnya.Katanya, murid sekolah rendah akan didedahkan kepada South-East Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) sebelum berdepan pentaksiran antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA).SEA-PLM yang dilaksanakan setiap lima tahun menilai murid Tahun Lima dalam empat domain iaitu literasi membaca, Matematik, penulisan dan kewarganegaraan global.TIMSS pula dijalankan setiap empat tahun bagi membandingkan prestasi murid Tingkatan Dua dalam Sains dan Matematik antara negara yang mengambil bahagian.PISA yang menilai literasi membaca, Matematik dan Sains pula dilaksanakan setiap tiga tahun oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) terhadap pelajar berusia 15 tahun di negara anggota dan bukan anggota OECD.Ab Aziz berkata, kaedah serta bentuk soalan SEA-PLM disesuaikan dengan piawaian antarabangsa, manakala guru dan pegawai yang terlibat dalam pembangunan item pentaksiran turut menerima latihan menghasilkan soalan yang mempunyai pendekatan sama seperti PISA.“Ini bermakna murid Tahun Empat akan mendapat pendedahan lebih awal, khususnya dalam Matematik dan Sains, terhadap bentuk soalan yang bakal mereka temui dalam SEA-PLM, TIMSS dan PISA.“Matlamatnya adalah untuk membiasakan mereka dengan bentuk pentaksiran berkenaan,” katanya.Apa yang bukan tujuan Matriks PembelajaranBukan pengganti peperiksaan UPSR atau PT3.Bukan penentu kemasukan ke sekolah tertentu.Bukan kaedah untuk membandingkan prestasi murid, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).Yuran Matriks PembelajaranSekolah di bawah Kementerian Pendidikan atau agensi kerajaan: Percuma.Sekolah swasta: RM40 bagi setiap murid Tahun Empat dan RM65 bagi setiap murid Tingkatan Tiga.Format dan struktur pentaksiranInstrumen disediakan dalam Bahasa Melayu.Bagi murid Program Dwibahasa (DLP), instrumen Sains dan Matematik disediakan dalam format dwibahasa.Instrumen bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).Tambahan masa antara 30 hingga 60 minit diberikan kepada MBPK untuk melengkapkan pentaksiran.Jadual pelaksanaan MPT4 2026OktoberPelaksanaan MPT4: 6 hingga 8 Oktober.Mesyuarat penyelarasan penskoran di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah.Moderasi penskoran.Perekodan dan penghantaran markah ke dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu Awam (SBPPA).NovemberPercetakan dan pengedaran laporan keputusan kepada murid serta ibu bapa atau penjaga.