Kebimbangan terhadap serangan anjing liar semakin meningkat terutamanya apabila beberapa kes melibatkan kanak-kanak dilaporkan di media. -Gambar hiasan
KEGEMBIRAAN seorang kanak-kanak lelaki bermain pasir bertukar tragedi apabila dia diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, dekat Bachok. Dalam kejadian pada Khamis lalu, mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman, 8, mengalami beberapa kecederaan akibat gigitan anjing, termasuk luka pada bahagian kepala dan leher. Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makan keluarga berhampiran pantai sebelum terdengar bunyi bising dan orang ramai memanggilnya dalam keadaan cemas.Katanya, dia kemudian melihat seorang pekerja di resort berdekatan membawa anaknya yang berlumuran darah."Anak saya pergi bermain pasir bersama lima saudaranya yang sebaya sekitar pukul 9 pagi pada hari kejadian."Tiba-tiba kira-kira lima ekor anjing berlari ke arah mereka menyebabkan mereka semua panik dan cuba melarikan diri."Bagaimanapun, anak saya terjatuh sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.Menurut Zuraiman, anaknya bergelut seorang diri dan sempat menendang anjing terbabit serta melarikan diri ke arah pantai, namun haiwan berkenaan terus mengejarnya hingga ke dalam air.ARTIKEL BERKAITAN: Budak dua tahun diserang sekumpulan anjing depan rumah, hampir seluruh badan cedera"Air (pantai) cecah leher anak saya, barulah anjing berhenti menyerang," ujarnya sambil menambah, lima yang lain terselamat ketika menyelamatkan diri. Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Balai sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.Zuraiman berkata anaknya baru menjalani pembedahan bagi membersihkan luka serta menjahit bahagian yang terkoyak akibat gigitan."Dua kesan taring terdapat di leher dan dua lagi di kepala. Buat masa ini, dia masih dirawat di wad dan perlu dipantau doktor," katanya.Menurutnya, kumpulan anjing liar terbabit sudah lama berkeliaran di kawasan pantai, khususnya berhampiran tong sampah.Katanya, aduan mengenai masalah itu pernah dibuat sebelum ini dan usaha memasang perangkap juga pernah dilakukan, namun keadaan kembali berlaku selepas beberapa ketika."Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya kejadian seperti ini tidak berulang, terutama melibatkan kanak-kanak lain," ujarnya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.