Insiden membabitkan dua peserta KLSCM 2026 yang cedera dirempuh sebuah motosikal, awal pagi Sabtu, turut tular di laman sosial.
DUA peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 cedera selepas dirempuh sebuah motosikal yang memasuki laluan larian berkenaan di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, awal pagi Sabtu.Seorang peserta wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan pada leher dan kini menerima rawatan di Prince Court Medical Centre. Sementara itu seorang lagi peserta lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan pada Sabtu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, penunggang motosikal berusia 21 tahun yang dipercayai mabuk serta pembonceng lelaki berusia 19 tahun memasuki laluan yang telah ditutup menggunakan kon.ARTIKEL BERKAITAN: Pelari maraton cedera parah dilanggar keretaMenurutnya, anggota polis yang bertugas telah mengarahkan penunggang berhenti, namun dia bertindak melarikan diri melawan arus sebelum merempuh kedua-dua peserta maraton.Mohd Zamzuri berkata, saringan awal mendapati penunggang motosikal terbabit positif alkohol dengan bacaan EBA sebanyak 164mg/100ml.Penunggang dan pembonceng tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pengambilan sampel darah dan air kencing bagi tujuan siasatan lanjut.Katanya, penunggang motosikal direman selama tiga hari hingga 5 Oktober, manakala pembonceng direman selama dua hari sehingga 4 Oktober.Kedua-duanya kini ditahan di lokap Balai Polis Dang Wangi.Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. Terdahulu, klip video insiden berkenaan dipercayai dirakam peserta lain turut tular di laman sosial.