Kajian turut menunjukkan bahawa nasi yang disejukkan di dalam peti ais menghasilkan tindak balas glukosa darah jauh lebih rendah dalam kalangan orang dewasa yang sihat. Gambar hiasan/Agensi
BIASANYA baki nasi yang tidak habis dimakan biasanya akan menerima dua nasib iaitu sama ada dibuang atau disimpan untuk diolah menjadi nasi goreng.Namun tahukah anda bahawa nasi sejuk sebenarnya lebih baik untuk kesihatan berbanding nasi panas yang baru dimasak? Bagi nasi panas, gabungan haba dan air akan menyebabkan granul kanji membengkak dan melembut melalui proses gelatinisasi.Proses ini yang membuatkan nasi panas yang baru dimasak lebih mudah dicerna.Bagaimanapun sifat mudah dicerna ini juga bermakna tubuh akan memecahkan nasi menjadi glukosa dengan lebih pantas, sekali gus menyebabkan paras gula dalam darah akan melonjak sejurus selepas makan.Berbeza dengan nasi sejuk, molekul kanji akan mula menyusun semula strukturnya menjadi kristal yang padat melalui proses retrogradasi.Apa itu 'resistant starch' atau kanji rintangEnzim pencernaan di dalam tubuh tidak dapat memecahkan kanji secara cekap dan hasilnya kanji rintang akan melalui usus kecil yang sebahagiannya tidak dihadam dan berfungsi seperti serat diet.Ia bukan seperti kanji biasa yang cepat bertukar menjadi glukosa.Kesan positif ini turut dibuktikan kajian daripada Asia Pacific Journal of Clinical Nutrition pada 2015 mendapati nasi sejuk dipanaskan semula mengandungi 2.5 kali ganda kanji rintang berbanding nasi biasa dan menghasilkan tindak balas glukosa darah yang jauh lebih rendah dalam kalangan orang dewasa yang sihat. Malah, kajian jurnal Nutrition and Diabetes pada 2022 menunjukkan hidangan nasi telah disejukkan selama 24 jam dan dipanaskan semula menghasilkan lonjakan glukosa darah jauh lebih rendah pada pesakit diabetes Jenis 1 berbanding dengan nasi panas baru dimasak.Cara penyediaan nasi sejuk untuk hasil terbaikUntuk mendapatkan manfaat kesihatan yang optimum, nasi sejuk perlu diproses dan dihidangkan dengan cara yang betul. Hidangan nasi sejuk ini hanya akan berkesan sekiranya proses penyejukan dilakukan di dalam peti sejuk selama kira-kira 24 jam, dan bukannya sekadar membiarkan nasi di atas meja dapur atau pada suhu bilik selama beberapa jam.Selain itu, faktor keselamatan makanan juga tidak boleh diabaikan sama sekali. Nasi mestilah disejukkan dengan cepat dan dimasukkan ke dalam peti sejuk dalam tempoh dua jam selepas dimasak, disimpan dengan betul dalam bekas bertutup, dan dipanaskan semula sehingga benar-benar panas sebelum dimakan. Membiarkan nasi di luar semalaman semata-mata adalah tindakan yang sangat berbahaya kerana ia mengundang risiko keracunan makanan akibat pembiakan bakteria.