suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Duduk lama atas pelana, ‘ride’ secara kerap didakwa ganggu kesuburan... Ini penjelasan pakar untuk golongan suka berbasikal

Aktiviti berbasikal merupakan antara sukan yang popular terutama bagi golongan profesional. -Gambar hiasan AI

BERBASIKAL sememangnya baik untuk kesihatan, namun sejauh manakah dakwaan bahawa aktiviti itu boleh menjejaskan kesuburan?

Menurut pakar kesuburan dari Universiti Edinburgh, Profesor Colin Duncan, berbasikal bukanlah perkara utama yang biasanya diberi perhatian dalam kalangan doktor.

Namun ujar Duncan, kesan terhadap kesuburan boleh berlaku sekiranya aktiviti berbasikal dilakukan pada tahap yang sangat ekstrem, terutama dalam kalangan atlet profesional.

Tambahnya, bagi golongan wanita, aktiviti berbasikal dalam kekerapan biasa tidak terlalu memberi kesan ketara terhadap kesuburan.

Bagaimanapun Duncan berkata, masalah boleh timbul apabila seseorang melakukan aktiviti fizikal pada tahap yang sangat tinggi sehingga menyebabkan lemak badan berkurangan dengan ketara.

"Melakukan aktiviti fizikal dalam jumlah yang sangat banyak boleh mengurangkan lemak badan dan keadaan itu boleh menyebabkan ovari berhenti berfungsi," katanya.

Dalam kalangan atlet elit, keadaan ini boleh menyebabkan haid terhenti dan seterusnya mengurangkan tahap kesuburan.

Tambah Duncan, situasi itu bagaimanapun sedikit berbeza bagi lelaki.

Ujarnya, duduk di atas pelana basikal untuk tempoh yang panjang boleh meningkatkan suhu di sekitar buah zakar. 

Doktor turut mengambil kira faktor gaya hidup seseorang dalam menilai sampel sperma di klinik kesuburan. -Gambar hiasan 

Menurut Duncan, keadaan itu seolah-olah menyebabkan buah zakar berada dalam keadaan 'dieram'.

Peningkatan suhu berkenaan boleh memberi kesan terhadap penghasilan sperma kerana sperma berkembang dengan lebih baik pada suhu yang lebih rendah.

"Jika anda melakukan aktiviti berbasikal secara ekstrem, jumlah sperma mungkin berubah sedikit," jelasnya.

Usah terlalu panik

Jelas pakar kesuburan itu lagi, walau bagaimanapun, lelaki yang gemar berbasikal secara biasa tidak perlu terlalu bimbang.

Duncan menjelaskan bahawa buah zakar menghasilkan jumlah sperma yang jauh lebih banyak daripada apa yang sebenarnya diperlukan untuk kesuburan.

"Jika anda berbasikal dalam jumlah yang normal, ia langsung tidak akan memberi perbezaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita bingung jerawat pada wajah ‘meriah’ tiba-tiba, syak ciuman suami jadi punca!

Jelas Duncan, perkara yang perlu diberi perhatian adalah sekiranya seseorang memang mempunyai kiraan sperma yang berada pada tahap rendah atau hampir kepada paras minimum.

"Jika kiraan sperma anda sangat baik, ia mungkin tidak memberi banyak perbezaan. Anda masih mempunyai banyak sperma yang boleh bergerak," katanya.

Faktor gaya hidup 

Dalam menilai sampel sperma pesakit di klinik kesuburan, Duncan berkata doktor turut mengambil kira faktor gaya hidup.

Sekiranya terdapat keabnormalan pada sampel sperma, doktor biasanya akan mendapatkan gambaran tentang gaya hidup pesakit sebelum membincangkan perubahan yang mungkin membantu.

Selain berbasikal secara ekstrem, beberapa tabiat lain seperti merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan dan kerap menggunakan sauna juga boleh diberi perhatian.

Artikel Lain