Bukan senang untuk biasakan diri selepas insan tersayang pergi buat selama-lamanya. -Gambar hiasan AI
KEHILANGAN orang yang disayangi adalah antara pengalaman paling menyakitkan dalam hidup.Sama ada pasangan, ibu bapa, sahabat atau ahli keluarga, apa yang pasti pemergian insan yang dianggap terpenting itu sememangnya sesuatu yang meninggalkan kesedihan mendalam. Menurut perkongsian HelpGuide.org, perasaan yang muncul selepas kehilangan juga berbeza bagi setiap individu. Ada yang menangis tanpa henti, ada yang rasa kosong, malah ada juga yang seolah-olah tidak mampu merasai apa-apa akibat terlalu terkesan.Tambahnya, emosi bukan satu-satunya perkara yang terkesan.Kesedihan akibat kehilangan juga boleh menyebabkan perubahan selera dan berat badan, sukar tidur, badan terasa sakit serta menjejaskan sistem imun sehingga seseorang lebih mudah jatuh sakit.Kehilangan pasangan ubah seluruh kehidupanBagi mereka yang kehilangan suami, isteri atau pasangan, kesedihan bukan sekadar kehilangan seorang insan.Mereka juga perlu berdepan urusan pengebumian, masalah kewangan dan perubahan kehidupan harian.Jika mempunyai anak kecil, mereka mungkin perlu menerangkan tentang kematian itu kepada anak-anak sambil cuba mengurus kesedihan sendiri.Lebih menyakitkan, pasangan yang meninggal dunia turut membawa pergi sebahagian daripada rutin, kenangan dan impian masa depan yang dibina bersama.Kehilangan ibu bapa juga meninggalkan luka mendalamBagi kanak-kanak, kematian ibu atau bapa boleh menjadi pengalaman yang sangat traumatik.Mereka mungkin berasa dunia tiba-tiba kosong dan ada sesetengah kanak-kanak menyalahkan diri sendiri atas kematian ibu atau bapa.Namun, kehilangan ibu bapa ketika sudah dewasa juga bukan sesuatu yang mudah untuk dihadam.Ada yang mengambil tempoh masa yang lama untuk mengubati kesedihan akibat kehilangan insan tersayang. -Gambar hiasan AISelain kehilangan tempat bergantung, kematian ibu bapa boleh membuatkan seseorang berdepan semula dengan kenangan zaman kanak-kanak dan mula memikirkan tentang kehidupan serta kematian sendiri.Jika hubungan dengan ibu atau bapa sebelum ini tidak begitu baik, perasaan yang timbul pula mungkin bercampur-baur.Tak ada tempoh masa 'sembuh'Perkara paling penting untuk difahami adalah setiap individu berduka atau berkabung dengan cara berbeza.Bagi sesetengah orang, kesedihan mungkin beransur reda dalam tempoh tertentu.Bagi yang lain pula, ia boleh mengambil masa bertahun-tahun.Tambahnya lagi, proses berduka juga tidak semestinya mengikut urutan tertentu.Ada ketika seseorang berasa sudah semakin kuat, tetapi tiba-tiba kembali menangis apabila melihat gambar, mendengar lagu atau teringat kenangan bersama insan yang telah pergi.ARTIKEL BERKAITAN: Terjaga daripada lena terus banjir air mata... Ini rahsia mimpi sedih, rupanya ada ‘benda’ tak lepas di alam nyataLebih-lebih lagi apabila tibanya tarikh tertentu seperti hari lahir, ulang tahun perkahwinan atau musim perayaan juga boleh mencetuskan kembali rasa kehilangan.Ramai mungkin beranggapan bahawa apabila seseorang yang melalui kehilangan mula meneruskan kehidupan, itu bermakna mereka sudah melupakan insan yang telah meninggal dunia.Sedangkan pada hakikatnya, meneruskan kehidupan tidak bermakna kenangan dan kasih sayang itu hilang.Ubati kesedihanKetika melalui tempoh berkabung, sokongan orang sekeliling amat penting.Jangan sesekali memendam perasaan atau menjalani proses kesedihan seorang diri.Mereka yang melalui kehilangan juga disarankan membuang perasaan takut untuk memberitahu keluarga atau rakan apa yang diperlukan.Sama ada sekadar mahu seseorang menemani, mendengar luahan atau membantu mengurus perkara berkaitan pengebumian.Jika sukar untuk berkongsi dengan orang terdekat, satu cara yang disarankan adalah mencari kumpulan sokongan dalam komuniti di tempat tinggal atau pun laman sosial.Dalam pada itu, mendapatkan bantuan kaunselor atau ahli terapi yang berpengalaman juga amat disyorkan terutama bagi mereka yang merasakan kesedihan terlalu berat atau sukar menerima kehilangan.Pucuk pangkalnya, berduka bukan tanda seseorang lemah, sebaliknya ia adalah proses manusia menghadapi kehilangan insan bermakna dalam hidup dan setiap orang berhak mengambil masa untuk melaluinya.