Mangsa cakaran atau gigitan haiwan yang disyaki rabies disarankan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan perubatan secepat mungkin. -Gambar hiasan AI
GIGITAN anjing mungkin kelihatan seperti kecederaan kecil yang boleh sembuh dengan sendiri.Namun jangan ambil mudah lagi-lagi haiwan terbiar yang status kesihatannya tidak diketahui. Hakikatnya, luka yang kelihatan semakin baik pada kulit tidak semestinya bermakna seseorang itu sudah terlepas daripada risiko jangkitan rabies.Perkara itu wajar diberi perhatian susulan kematian seorang lelaki berusia 31 tahun pada 27 September lalu, selepas digigit seekor anjing terbiar di kawasan berdekatan Pasar Tani Kekal Changlun, Kubang Pasu, Kedah.Mangsa dipercayai mengalami gigitan pada tangan ketika cuba memberi makan kepada anjing berkenaan, pada Ogos.Selepas kejadian, mangsa difahamkan mendapatkan rawatan namun tidak menerima rawatan pencegahan rabies selepas terdedah kepada jangkitan atau post-exposure prophylaxis (PEP).Pada 18 September, mangsa mula mengalami gejala seperti kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan.Apabila keadaan kesihatannya semakin serius, mangsa mendapatkan rawatan semula pada 23 September sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Ujian makmal pada 26 September mengesahkan mangsa positif dijangkiti rabies, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.Ramai mungkin tidak menyedari bahawa rabies mempunyai tempoh inkubasi, iaitu jangka masa antara seseorang terdedah kepada virus sehingga tanda-tanda penyakit mula muncul.Tempoh berkenaan adalah tiga minggu hingga dua bulan dari gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil mudah kehadiran anjing liar atau terbiar di kawasan perumahan mahupun kawasan awam. -Gambar hiasanIni bermakna seseorang yang digigit atau dicakar haiwan rabid mungkin kelihatan sihat pada peringkat awal dan hanya mengalami luka pada kulit, sedangkan virus sudah memasuki tubuh.Justeru, ketiadaan gejala pada hari-hari atau minggu pertama selepas gigitan tidak boleh dijadikan ukuran bahawa seseorang itu selamat.Jika seseorang baru sahaja digigit atau dicakar haiwan yang disyaki rabies, langkah paling penting adalah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan perubatan secepat mungkin, bukannya menunggu gejala muncul.Bergantung kepada keadaan dan tahap pendedahan, doktor akan menilai keperluan untuk mendapatkan rawatan termasuk vaksin rabies, imunoglobulin rabies dan, dalam keadaan tertentu, suntikan tetanus.ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut akibat rabies, kes pertama di Kedah sejak 1998Memetik laman advokasi kesihatan, Public Health Malaysia, luka yang kelihatan kecil atau sudah sembuh tidak bermakna risiko jangkitan telah berakhir."Jangan jadikan 'luka dah baik' sebagai alasan untuk tidak mendapatkan pemeriksaan. Luka di kulit bukan ukuran bahawa risiko sudah tiada," ujarnya.Usah ambil mudah anjing terbiarPada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah kehadiran anjing liar atau terbiar di kawasan perumahan, taman rekreasi mahupun tempat awam.Walaupun sesetengah anjing kelihatan jinak, tenang atau tidak agresif, keadaan fizikal dan status kesihatannya tidak semestinya dapat diketahui hanya melalui pemerhatian.Sebaik-baiknya, elakkan daripada mendekati, menyentuh atau cuba memberi makan kepada anjing yang tidak dikenali.Selain itu, ajar kanak-kanak supaya tidak mengusik atau mendekati anjing yang tidak dikenali, terutama ketika berada di luar rumah.Orang ramai disaran melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya terdapat anjing liar berkeliaran di kawasan kejiranan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil bagi menjaga keselamatan orang ramai.Langkah pencegahan seterusnya, elakkan kawasan yang menjadi tumpuan anjing liar ketika berjoging, berjalan kaki atau berbasikal.Tidak kurang pentingnya, pastikan anjing peliharaan menerima suntikan antirabies secara berkala di klinik veterinar mengikut nasihat doktor veterinar.Rabies bukan penyakit yang boleh dipandang ringan.Sebaik sahaja gejala mula muncul, hampir 100 peratus rabies membawa maut.