suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kesan getah stoking pada betis memang normal... jangan abaikan jika lekuk lambat hilang, kaki membengkak

Pemilihan stoking yang sesuai dengan saiz kaki dapat memastikan keselesaan sepanjang pemakaiannya. -Gambar hiasan AI

PASTI ramai dalam kalangan kita perasan kesan berlekuk pada buku lali atau betis selepas seharian memakai stoking.

Kesan getah stokin pada kaki sebenarnya perkara yang biasa berlaku.

Namun, dalam keadaan tertentu, kesan tersebut boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang perlu diberi perhatian.

Menurut pakar bedah vaskular di Hackensack University Medical Center, New Jersey, Dr Katherine Teter, kesan stoking biasanya berlaku kerana cecair berkumpul di bahagian kaki, terutama apabila seseorang duduk atau berdiri terlalu lama.

Jika bekerja di pejabat dan banyak menghabiskan masa dengan duduk, atau bekerja sambil berdiri sepanjang hari, darah dan cecair boleh berkumpul di bahagian bawah kaki.

Selain itu, beberapa faktor lain juga boleh menyebabkan kaki sedikit bengkak, antaranya:

Stokin terlalu ketat – tekanan daripada getah stoking meninggalkan kesan pada kulit.

Kurang minum air – dehidrasi boleh menyebabkan perubahan pada keseimbangan cecair dalam badan.

Pengambilan makanan masin – makanan tinggi garam boleh menyebabkan badan menyimpan lebih banyak air dan membuatkan kaki membengkak sedikit.

Jadi, jika kesan stoking hilang selepas beberapa ketika, ia biasanya bukan sesuatu yang membimbangkan.

Perkara yang lebih penting ialah melihat perubahan pada kaki dan simptom lain.

Anda disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami:

- Kaki sentiasa bengkak walaupun tidak memakai stoking.

- Kesan stoking semakin dalam atau lambat hilang dalam tempoh yang lama.

- Kesan hanya berlaku pada sebelah kaki atau jauh lebih teruk pada satu kaki.

- Kulit di sekitar buku lali menjadi lebih gelap.

- Urat varikos yang besar dan ketara.

- Kaki terasa berat, sakit atau terlalu letih selepas berdiri lama, tetapi menjadi lebih lega apabila kaki diangkat.

Keadaan seperti ini boleh dikaitkan dengan masalah pada salur darah vena.

Kesan berlekuk akibat pemakaian stoking adalah perkara biasa, namun disarankan berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda yang tidak normal. -Gambar hiasan AI

Menurutnya, badan biasanya bersifat seimbang dan simetri, justeru jika perubahan hanya berlaku pada sebelah kaki, ia wajar diberi perhatian.

Dalam kes yang lebih serius, bengkak yang semakin teruk dari minggu ke minggu atau bulan ke bulan boleh menjadi tanda masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang atau kegagalan jantung.

Bagi kegagalan jantung, biasanya terdapat simptom lain seperti sesak nafas atau sukar berbaring rata ketika tidur.

Namun, kesan stoking semata-mata tidak bermaksud seseorang mengalami kegagalan jantung. Pemeriksaan doktor diperlukan untuk menentukan puncanya.

Ramai menganggap kesan stoking sebagai tanda masalah peredaran darah atau darah beku, tetapi doktor menjelaskan bahawa darah beku biasanya disertai simptom lain, seperti: 

- Bengkak yang ketara pada kaki atau betis.

- Sakit pada kaki atau betis.

- Kemerahan pada kawasan terbabit.

Jika mengalami simptom seperti ini, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan dengan segera.

Bagi individu yang banyak berdiri atau duduk untuk tempoh yang lama, stoking mampatan (compression socks) boleh membantu mengurangkan pengumpulan cecair dan rasa berat pada kaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak bau ‘telur’ lepas balik sekolah, kaum ibu pakat kongsi petua atasi masalah badan hanyir

Ia juga sering digunakan ketika perjalanan jauh seperti menaiki kapal terbang, terutama apabila seseorang perlu duduk dalam tempoh yang panjang.

Bagaimanapun, pemilihan stoking yang paling penting ialah memastikan ia selesa dan sesuai dengan saiz kaki.

Cara kurangkan kesan stoking pada kaki

- Angkat kaki selepas duduk atau berdiri lama.

- Bersenam dan banyak bergerak untuk membantu peredaran darah.

- Kurangkan pengambilan makanan yang terlalu tinggi garam.

- Pastikan pengambilan air mencukupi.

- Pertimbangkan stokin mampatan jika sesuai dengan keadaan anda.

- Jika duduk terlalu lama, bangun dan berjalan secara berkala.

Kesimpulannya, kesan stoking pada kaki biasanya normal dan tidak berbahaya. 

Ia sering berlaku kerana tekanan stoking, duduk atau berdiri terlalu lama serta perubahan kecil pada cecair dalam badan.

Tetapi, jika kesan semakin teruk, tidak hilang, hanya berlaku pada sebelah kaki atau disertai bengkak, sakit dan sesak nafas, jangan abaikannya.

Segeralah berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca sebenar.

Artikel Lain