SEORANG lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia pada Ahad akibat rabies selepas digigit anjing liar pada Ogos lalu.Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah) memaklumkan, kes membabitkan penduduk Kubang Pasu itu adalah kes rabies dalam kalangan manusia yang pertama dilaporkan di negeri berkenaan sejak 1998. Menurut jabatan itu, mangsa mendapatkan rawatan selepas digigit, namun tidak menerima rawatan pencegahan rabies selepas terdedah kepada jangkitan atau post-exposure prophylaxis (PEP).“Mangsa mula mengalami keletihan, lemah badan dan kebas pada lengan kanan pada 18 September.Gejalanya kemudian semakin teruk, termasuk sukar menelan, takut kepada air dan tiupan angin, keresahan serta perubahan tingkah laku,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.Mangsa mendapatkan rawatan semula pada Rabu lalu sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Sampel klinikal yang diambil pada Khamis disahkan positif rabies menerusi ujian makmal dua hari kemudian.Susulan pengesahan itu, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah dan agensi berkaitan menjalankan pengesanan kes secara aktif, mempertingkat pemantauan kes gigitan haiwan serta melaksanakan kawalan haiwan liar di kawasan terjejas.Kementerian Kesihatan turut menjalankan siasatan epidemiologi menyeluruh bagi mengenal pasti punca jangkitan, termasuk meneliti sejarah perjalanan dan pendedahan mangsa serta individu yang mempunyai kontak dengannya.Menurut JKN Kedah, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan dilaporkan di negeri itu setakat Ogos lalu.Daripada jumlah tersebut, 65.3 peratus melibatkan anjing, 23.1 peratus kucing dan 11.6 peratus haiwan lain.Orang ramai yang digigit atau dicakar haiwan dinasihatkan segera mencuci luka dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit, kemudian mendapatkan pemeriksaan di kemudahan kesihatan bagi penilaian risiko dan rawatan yang sesuai.-The Star