Fadhlina meluangkan masa bertemu keluarga Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal serta mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian yang meragut nyawa pelajar berkenaan. -Foto Threads Fadhlina Sidek
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan menyeluruh dilakukan, termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan, susulan kes kematian pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, pada Sabtu.Tegas Fadhlina, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat kecuaian atau mana-mana tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. “Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah."Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut,” katanya.ARTIKEL BERKAITAN: Tiga remaja lelaki ditahan beberapa jam selepas penemuan mayat pelajar perempuan Tingkatan 4 di dewan sekolahBeliau berkata demikian selepas hadir ke Yong Peng, pagi Ahad, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian yang meragut nyawa pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.Menurutnya, beliau telah menerima taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.Fadhlina turut meluangkan masa bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.“Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi.“Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.Pada masa sama, Fadhlina menegaskan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.