suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Remaja lelaki direman 6 hari bantu siasatan kematian pelajar perempuan, polis turut rampas telefon suspek

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -Gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemukan tidak bernyawa di dewan sekolah di Yong Peng pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 7 malam Sabtu di sekitar Yong Peng oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

“Suspek merupakan remaja lelaki tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Ahad bagi mendapatkan perintah reman dan majistret membenarkan suspek direman selama enam hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media pada Ahad.

Menurut Ab Rahaman, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.50 petang Sabtu mengenai seorang remaja perempuan yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam sebuah dewan sekolah di Yong Peng.

ARTIKEL BERKAITAN: “Keluarganya berhak mendapat jawapan” - Fadhlina arah semua aspek sekolah diperiksa susulan kes pelajar maut di Yong Peng

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan tubuh sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bedah siasat akan dijalankan pada Ahad di Hospital Sultanah Nora Ismail bagi mengetahui punca kematian mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar milik suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ab Rahaman berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan.

“Polis Johor juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di 07-2212999. -The Star

Artikel Lain