SEORANG pengusaha kedai haiwan meminta seorang lelaki memulangkan seekor hamster yang didakwa ‘dipinjam’ dari premisnya pada Sabtu.Muhammad Nur Aiman berkata cara individu terbabit mengambil haiwan tersebut tidak sopan memandangkan perbuatan itu dilakukan di hadapan anak dan isterinya sendiri. Justeru itu, dia meminta lelaki itu kembali ke kedainya di Hyper Pets Centre, Pasir Gudang di Johor untuk memulangkan haiwan terbabit."Hai bang. Tolong datang kedai kami semula bang untuk pulang hamster yang abang 'pinjam' itu."Sebab cara abang pinjam itu tak bagus, depan anak-anak dan isteri. Malu la bang. Harga tak mahal mana pun."Tolong bang. Nanti pulangkan semula," katanya.Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang dikongsi, lelaki berkenaan mengambil hamster yang diletakkan di dalam kandang di rak sebelum memasukkan haiwan berkenaan ke dalam beg yang disandangnya.Perbuatan tersebut turut disaksikan oleh isteri dan dua anaknya sebelum mereka sekeluarga berlalu pergi.Pengusaha itu turut memberikan tempoh seminggu kepada lelaki berkenaan untuk memulangkan hamster terbabit serta memohon maaf kepada pihak kedai."Nanti dengan muka isteri abang sekali saya post. Saya bagi tempoh seminggu untuk pulangkan balik dan minta maaf," katanya.Dalam pada itu, pengusaha berkenaan meminta orang ramai supaya tidak mendoakan perkara buruk terhadap keluarga lelaki terbabit."Jangan doa macam itu. Saya cuma nak dia pulangkan sahaja hamster itu. Saya yakin kemungkinan dia terpaksa ambil. "Dia datang, saya akan nasihat, bukan untuk bergaduh atau bertengkar. Saya juga pasti dia masih ada hati nurani untuk berbincang dengan saya," katanya.