suria

Tindakan Pijak Gambar Tidak Berbudaya - Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan tindakan pemimpin DAP memijak poster yang memaparkan wajah tiga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang semasa Konvensyen DAP Perak sebagai langsung tidak berbudaya serta tidak menghormati hak individu dan demokrasi.

Katanya perbuatan itu tidak langsung sinonim dengan masyarakat Malaysia atau prinsip Rukunegara malahan Perlembagaan negara.

"Saya boleh nyatakan kelakuan mereka dalam DAP yang pijak foto bekas rakan mereka itu adalah perbuatan langsung tidak berbudaya malah lebih terkutuk dari masyarakat yang tiada bimbingan di dunia luar," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kejadian Ahad lepas.

Terdahulu Rais melancarkan "Buku Kebudayaan Malaysia: Sebuah Pengenalan" di Auditorium Kompleks Kraftangan Malaysia di sini.

Pada konvensyen tersebut, poster yang memaparkan wajah tiga Adun iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu meminjak poster mereka.

"Ini menunjukkan bahawa politik pada diri mereka (perwakilan dan pemimpin DAP) mengatasi segalagalanya dan (mereka) tiada langsung perasaan kemanusiaan atau penghormatan terhadap individu dan hak demokrasi mereka," kata Rais.

Rais berkata jika DAP menghargai nilai demokrasi mereka harus menerima hakikat bahawa ketiga-tiga Adun itu keluar parti atas prinsip perjuangan mereka.

"Kenapa foto mereka dipijak sambil masuk ke dewan? Ketiga-tiga mereka boleh ambil tindakan sekiranya mereka mahu dengan meletakkan gambar Lim Kit Siang bersama gambar rakan-rakan lain dalam pakatan pembangkang dan dipijak oleh orang lain. (Fikirkan) macam mana rasanya," kata Rais.

Rais juga berkata gelagat berfikiran sempit dan politik kurang ajar seperti itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Sementara itu Pergerakan Puteri Umno mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadap pemimpin DAP yang memijak poster tiga wakil rakyat bebas itu yang secara terang dan nyata bertujuan menghina mereka.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, tindakan seumpama itu jelas bertentangan dengan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati yang menjadi teras masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Perbuatan sengaja menjadikan poster ketigatiga wakil rakyat bebas itu seperti 'kain pengesat kaki' sememangnya kurang ajar dan mempermainkan hak serta kebebasan seseorang itu untuk memilih parti yang ingin diwakilinya", katanya.

Beliau berkata pemimpin veteran seperti Lim Kit Siang sepatutnya menjadi teladan kepada barisan pemimpin muda dan bukannya bertindak di luar batas kesusilaan sehingga tergamak memijak gambar wakil rakyat tersebut semata-mata berbeza pandangan dalam politik.

Rosnah juga berkata beliau kesal dengan sikap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang selama ini bercakap mengenai kesederhanaan dan ciri-ciri pemimpin berwibawa juga tergamak bertindak sedemikian sehingga menghilangkan rasa hormat rakyat terhadapnya.

"Perbuatan yang sengaja dipertontonkan kepada ahliahli parti itu termasuk pihak media yang hadir semasa konvensyen itu juga menunjukkan sikap sombong dan bongkak pemimpin parti itu.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan tindakan Kit Siang sebagai amat memalukan, tidak sopan dan tidak wajar oleh seorang ahli politik veteran.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, beliau berkata tindakan Kit Siang itu merendahkan tarafnya sebagai seorang ketua pembangkang yang berpengalaman dan dihormati.

"Budaya rakyat Malaysia dan Cina mengutamakan rasa hormat dan menjaga maruah orang lain walaupun dalam keadaan paling remeh.

"Politik tidak harus menjadi alasan untuk rakyat memusnahkan apa yang baik dan mulia dari segi budaya yang telah bertahan sejak bertahun-tahun ini," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain