IPOH: Tindakan memijak poster yang memaparkan wajah tiga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang adalah perbuatan kurang ajar, tidak beradab dan merendahkan martabat barisan para pemimpin pembangkang itu sendiri terutama DAP, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata tindakan pemimpin DAP memijak poster wajah tiga wakil rakyat itu ketika konvensyen DAP, Ahad lepas jelas menunjukkan pembangkang di negara ini tidak menghormati demokrasi.
"Tindakan mereka adalah terlalu melampau dan dengan bahasa paling mudah ialah orang tidak beradab. Apabila seseorang itu tidak memahami dan menghormati proses demokrasi, maka dia tidak mempunyai nilai-nilai demokrasi.
"Jika kita tidak menghormati seseorang, jangan bercakap soal demokrasi. Mereka melakukan perbuatan sedemikian langsung tidak melambangkan apa yang mereka perkatakan sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada konvensyen tersebut, poster yang memaparkan wajah tiga Adun berkenaan iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di lantai pintu masuk supaya barisan pemimpin serta perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak poster mereka. Antara pemimpin DAP yang terbabit dalam perbuatan itu ialah, penasihat DAP Lim Kit Siang; anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang juga Adun Pantai Remis; Adun Sungkai A Sivanesan dan Adun Tebing Tinggi Ong Boon Piow.
Zambry turut melahirkan rasa kecewa apabila seorang pemimpin politik seperti Lim sanggup merendah dan menjatuhkan maruah dengan melakukan perbuatan sedemikian.
"Paling membebalkan apabila tindakan seorang orang tua seperti (Lim) Kit Siang melakukan sedemikian. Bagi saya paling malang dalam sejarah politik apabila seorang yang kononnya dianggap 'supremo' dalam politik menjatuhkan maruah dan martabatnya begitu rendah sekali," katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan mahkamah berhubung kes itu, beliau berkata agenda kerajaan negeri bukan mengikut 'rentak' seperti pembangkang kerana ia juga bukan menggambarkan tahap pemikiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Februari lepas, ketiga-tiga wakil rakyat itu keluar parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas dengan menyokong BN. Mereka ialah Jamaluddin dan Mohd Osman daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hee daripada DAP dan ekoran tindakan itu BN yang mempunyai 28 kerusi kembali menerajui kerajaan negeri Perak. BERNAMA


