suria

Kena kecam sebab kaku di atas pentas, Jazmy Juma ambil pengajaran... Pertama kali tampil sebagai penyampai anugerah

Jazmy menerima pelbagai reaksi di media sosial selepas menjadi penyampai anugerah ABPBH37.

PERTAMA kali menjadi penyampai trofi di acara besar, pelakon Jazmy Juma tidak menafikan dia berasa gugup, lebih-lebih lagi selepas diumumkan sebagai pemenang Artis Baharu Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH37) pada malam Jumaat lalu.

Jazmy atau Jazmy Khan Juma Khan, 27, berkata perasaan gementarnya bertambah kerana dia terus diminta naik ke atas pentas untuk menyampaikan trofi sejurus selepas namanya diumumkan sebagai pemenang.

“Saya memang terkejut selepas menang kategori Artis Baharu Lelaki Popular. Belum habis gementar, saya terus diminta naik ke pentas untuk menyampaikan trofi.

Jazmy memenangi kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

“Saya minta maaf kepada semua penonton. Insya-Allah, selepas ini jika diberi peluang, saya akan cuba buat lebih baik,” katanya ketika dihubungi mStar.

Bercerita mengenai pengalaman menjadi penyampai trofi buat kali pertama, Jazmy menjelaskan bahawa mereka tidak diberikan sebarang latihan sebelum acara berlangsung.

Kata Jazmy, dia mengakui kelemahannya itu dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama lambat ‘panas’, Jazmy Juma percaya rezeki sudah diatur... Ramai kata muka seiras Aiman Hakim

ARTIKEL BERKAITAN: Ernie Zakri Bintang Paling Popular ABPBH 37 dengan 124 juta undian, bawa pulang RM30,000… “Saya dah balik dulu tadi”

“Bagi penyampai trofi, kami tidak menjalani sebarang sesi raptai dan bagi saya yang sering berdepan dengan kamera ketika penggambaran drama sahaja, sudah tentu saya berasa gementar kerana tidak biasa berada di atas pentas.

“Mungkin disebabkan kurang pengalaman dan latihan, saya jadi seperti itu. Namun sekarang saya sudah belajar daripada pengalaman.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Itu memang kesilapan saya yang kurang pengalaman untuk menjadi hos atau penyampai,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang kemenangan di ABPBH37, Jazmy memberitahu dia tidak pernah menjangkakan kemenangan tersebut dan berlapang dada dengan setiap rezeki yang diterima.

“Saya memang langsung tidak menjangkakan kemenangan itu. Saya juga tidak bersedia dengan ucapan. Saya sentiasa reda dengan perjalanan dalam dunia seni ini.

Jazmy (kanan) menjadi penyampai trofi bersama Tracie.

“Dalam hati dan fikiran saya, kalau layak menang, kita akan menang. Itulah yang saya selalu katakan kepada diri sendiri,” katanya.

Sebelum ini, netizen meluahkan rasa kurang senang di media sosial apabila melihat Jazmy menyampaikan trofi bagi kategori Pelakon Lelaki Pembantu Filem Popular, Pelakon Wanita Pembantu Filem Popular, Pelakon Lelaki Filem Popular dan Pelakon Wanita Filem Popular bersama aktres Tracie Sinidol pada malam kemuncak ABPBH37.

Rata-rata menyifatkan cara penyampaian Jazmy agak kaku ketika menyampaikan anugerah tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain