suria

SPRM ambil keterangan saksi kes PKFZ

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengambil keterangan beberapa saksi berhubung isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Siasatan itu hanya berkaitan dengan elemen kesalahan rasuah seperti penerimaan dan pemberian rasuah, mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu dan salah guna kuasa, kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu bagaimanapun berkata perkembangan siasatan kes PKFZ tidak boleh didedahkan kepada umum pada peringkat ini kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

SPRM masih perlu mengambil lagi keterangan saksi-saksi dan akan menjalankan siasatan dengan teliti dan telus mengikut undang-undang tanpa melindungi mana-mana pihak, kata kenyataan itu.

Semalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya SPRM dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Paduka O. C. Phang, membabitkan pecah amanah berhubung kes itu.

Menurut laporan PAC semalam, keduadua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji oleh Phang.

Projek berkenaan menjadi isu setelah kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion. BERNAMA

Artikel Lain