suria

Dr Asri Jawab Tuduhan Sijil Palsu

Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah
Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah
Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah

PETALING JAYA: Ternyata dakwaan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kononnya dia memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab, tidak lebih dari satu lagi fitnah yang terancang.

Ini terbukti dengan kiriman emel gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah.

Bukti ini sekali gus menunjukkan ianya bercanggah dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain yang tersiar dalam sebuah akhbar perdana hari ini.

"Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

"Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini. Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini?

"Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!," kata Dr Asri di kediamannya di Mengkuang, Bukit Mertajam. Semalam, penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zain Alghari, mendakwa Dr Asri memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa bidang pengkhususan Dr Asri hanya melibatkan bahasa Arab dan Sastera dan Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

"Universiti itu tidak meneruskan program itu sekarang tapi di waktu saya belajar dulu, memang ada program itu. Antara penceramah yang mendapat ijazah yang sama ialah Ustaz Erfino Johari dan ramai lagi guru-guru agama yang mengajar bahasa Arab.

"Tapi inikah kerja JAKIM, menyanggahi disiplin kerja, budi dan etika. Apakah tujuan JAKIM masuk campur? Juga menyalahi akhlak Islam?," kata Dr Asri.

Tuduhan memalsukan kelayakan merupakan tuduhan terbaru yang dilemparkan terhadap Dr Asri sejak dia ditahan oleh pihak JAIS malam Ahad lalu. Antara tuduhan lain ialah memberi ceramah agama tanpa tauliah dan menyebarkan fahaman Wahabi.

Dr Asri tertanya-tanya apakah motif di sebalik tuduhan terbaru ini.

"Adakah ini bermakna JAKIM termasuk dalam 'tangan ghaib' sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menafikan kerajaan pusat terlibat dalam hal ini.

"Adakah JAKIM ingin sabotaj saya atau Kerajaan Persekutuan? Dan Datuk Jamil Khir Baharom juga mahu kerajaan Selangor bertanggungjawab. Jadi jika JAKIM tidak terlibat dalam tuduhan pegawainya, saya ingin melihat bantahan terbuka dari pihak JAKIM.

"Saya juga difahamkan Dr Azwira Aziz turut menyaman pegawai yang sama untuk kes fitnah yang lain," kata Dr Asri yang akan mengadakan satu kuliah bertajuk 'Gelombang Fitnah' jam 8 malam ini di Institut Al Qayyim. Kuliah malam ini akan menyentuh tuduhan bohong pegawai JAKIM tentang sijil palsu.

Menurut Dr Asri, setelah berita 'pemalsuan ijazah' itu keluar, beliau telah menerima panggilan dari beberapa peguam ternama menawarkan khidmat mereka dengan percuma untuk menyaman Zamihan.

Dan Dr Asri berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman.

"Cukuplah...mereka telah pergi ke peringkat yang keji iaitu, fitnah!," kata Dr Asri yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, di bawah Majlis Agama Islam Perlis..

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain