suria

Pengusaha kedai kopi ditahan miliki dadah bernilai RM25,000

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pengusaha kedai kopi yang dipercayai mengedar dadah selepas menemui dadah yang disyaki ketamin dan syabu dengan anggaran 1.1 kg bernilai RM25,000 di Desa Petaling di sini Selasa lepas. Wanita berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 9.40 malam ketika menuju ke keretanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Petaling dengan membawa satu beg plastik berisi dua bekas polistirena yang diisi dengan dadah tersebut.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata siasatan polis ke atas keduadua bekas polistirena itu mendapati satu bungkusan plastik lutsinar disyaki diisi dengan ketamin seberat 505 gram, dan satu lagi bungkusan plastik lutsinar disyaki diisi dengan syabu seberat 50 gram.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Nissan Fairlady milik suspek, polis menemui satu lagi bungkusan plastik lutsinar yang disyaki diisi dengan ketamin seberat 505 gram, yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Abdul Bari berkata polis turut menemui 30 biji pil disyaki eramin 5 di dalam beg tangan suspek yang diletakkan di dalam kereta itu.

"Susulan daripada itu, polis membuat serbuan ke atas rumah suspek di Puchong pada tengah malam hari yang sama dan menemui satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai ketamin seberat 50 gram di dalam bilik suspek," katanya.

Wan Abdul Bari berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu di sekitar Petaling Jaya, Puchong serta Jalan Kelang Lama dan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata polis turut merampas empat buah telefon bimbit, wang tunai sejumlah RM5,440, satu kotak plastik berisi barang kemas dan beberapa kad kredit milik suspek.

Suspek ditahan reman selama seminggu sejak Selasa lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain