suria

Polis tumpaskan tiga lelaki terlibat 36 rompakan

JOHOR BAHARU: Polis berjaya menumpaskan tiga penjenayah dipercayai melakukan 36 kes rompakan di Johor, Selangor dan Pahang dengan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam satu operasi khas di Endau, Mersing, dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek ditahan dalam serbuan 3 pagi selepas polis mendapat maklumat awam mengenai persembunyian mereka di sebuah pusat peranginan di kawasan itu.

"Polis merampas empat pistol membabitkan jenis Glock dan Revolver, 47 peluru serta sebuah kereta jenis Toyota Vios dan Perodua MyVi dalam serbuan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata turut dirampas sejumlah wang tunai membabitkan RM40,455, Dolar Singapura S$12, Dolar Amerika US$11 dan Dolar Brunei B$5, yang dipercayai hasil rompakan dari beberapa rumah.

Katanya kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah itu sejak enam bulan lepas dan 31 daripada 36 rompakan itu dilakukan di Johor, empat di Selangor manakala satu kes di Pahang.

Mohd Bakri berkata kesemua lelaki tempatan berumur 42 hingga 56 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Bakri berkata polis menahan lima ketua sindiket ceti haram atau Ah Long termasuk bergelar Datuk, yang menawarkan nilai pinjaman kira-kira RM10 bilion. Beliau berkata kesemua lelaki itu ditahan sejak 46 hari lepas dan mereka telah mendedahkan nama anggota kumpulan masing-masing.

"Kebanyakan ketua kumpulan yang ditahan itu adalah di negeri ini dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun," katanya.

Mereka kini ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969 dan Akta Pencegahan Wang Haram 2001 dengan semua harta mereka sudah dirampas.

Katanya polis sedang memperincikan setiap maklumat yang diperoleh daripada mereka bagi mengenal pasti setiap anggota agar penahanan dapat dilakukan segera. BERNAMA

Artikel Lain