suria

Umno ada strategi tersendiri tawan Permatang Pasir - Muhyiddin

MUAR: Walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir diakui kubu kuat PAS, Umno mempunyai strategi tertentu untuk menggugat kekuatan parti pembangkang itu di kawasan terbabit, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno itu berkata Umno telah membuktikan kemampuannya ketika menghadapi PAS pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, sebuah lagi kubu kuat parti pembangkang itu baru-baru ini.

"Ya, ia (Permatang Pasir) kawasan kubu kuat PAS, tetapi telah terbukti di DUN Manek Urai yang juga adalah kubu kuat (PAs) tetapi kita boleh gugat kekuatan dia. Kita akan mengambil strategi tertentu untuk menangani masalah pengundi di kawasan itu, InsyAllah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan secara serentak persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar Pagoh di sini, hari ini.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur pagi semalam.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Mohd Hamdan yang menjadi Adun Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5,571 undi dengan majoriti 5,433 undi.

Muhyiddin berkata sebagaimana yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Barisan Nasional (BN) akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

BN dan Umno Bahagian telah membuat persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya kecil itu, katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilapor berkata penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil itu akan diumum selewatlewatnya 10 Ogos. Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang meminta Umno tidak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Muhyiddin berkata dalam sistem demokrasi sesiapa sahaja berhak untuk bertanding.

"Kita memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian. Kita tidak mahu bersikap angkuh macam Nik Aziz. Kita menawarkan diri kerana kerusi itu kosong kerana kematian wakil rakyatnya," katanya.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata adalah lebih baik jika PAS tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain