suria

Pemuda dihukum mati bunuh pelajar perempuan

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pemuda kerana membunuh pelajar perempuan tingkatan tiga Syafiqah Mohamad Borhan, tiga tahun lepas.

Abu Bakar Musa, 25, yang turut dikenali dengan panggilan "kapak" turut dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan 15 kali sebatan kerana merogol mangsa.

Hakim Datuk Azhar Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ian Shang Kuan Chou.

Peguam Norman Fernandez yang mewakili tertuduh berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Abu Bakar dituduh melakukan perbuatan tersebut di antara 5.45 pagi, 25 Jan 2006 dan 3.30 petang pada 27 Jan tahun yang sama di longkang Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda di sini.

Dia ditangkap pada 16 Feb dan didakwa di mahkamah pada 27 Feb 2006.

Mayat Syafiqah, pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim ditemui oleh orang ramai pada 27 Jan, dua hari selepas pelajar itu dilaporkan hilang ketika di dalam perjalanan ke sekolah pada waktu pagi. BERNAMA

Artikel Lain