suria

Kes saman dan syariah: Dua firma guaman wakili Manohara

KUALA LUMPUR: Manohara Odelia Pinot, yang terbabit dalam krisis dengan suaminya Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, melantik dua firma guaman untuk mewakilinya dalam dua kes Mahkamah Syariah dan satu kes saman di Mahkamah Tinggi.

Bagi kes di Mahkamah Syariah, Manohara akan diwakili Tetuan Faiz Adnan & Associates dengan tiga barisan peguam syarie diketuai Mohd Faiz Adnan manakala Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates akan mewakili Manohara serta ibunya Daisy Fajarina dalam kes saman sivil di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman terbabit di sini hari ini menyebut peguam dan wakil dari kedua-dua firma guaman telah bertemu dan berbincang dengan anak guam mereka (Manohara dan Daisy) di Jakarta pada 28 dan 29 Julai lepas bagi mendapatkan arahan seterusnya daripada mereka.

"Justeru itu, semua penyampaian saman, notis, dokumen pliding dan surat-menyurat kepada anak-anak guam boleh diserahkan ke pejabat peguam-peguam yang dinyatakan di atas," menurut kenyataan akhbar itu.

Pada 5 Julai lepas, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan dua saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu terhadap Manohara bagi menuntut isterinya kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.

Dua minggu kemudian, Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan pula saman fitnah RM105 juta terhadap isteri dan ibu mertuanya kerana didakwa memfitnahnya dalam sidang media, antara April dan Jun lepas. BERNAMA

Artikel Lain