suria

Inkues Teoh ditangguh hingga Rabu

Ahli keluarga dan barisan peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock meninggalkan perkarangan Mahkamah Majistret Shah Alam selepas koroner menangguhkan kes tersebut ke 5 Ogos depan.--fotoTHE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN.
Ahli keluarga dan barisan peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock meninggalkan perkarangan Mahkamah Majistret Shah Alam selepas koroner menangguhkan kes tersebut ke 5 Ogos depan.--fotoTHE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN.
Ahli keluarga dan barisan peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock meninggalkan perkarangan Mahkamah Majistret Shah Alam selepas koroner menangguhkan kes tersebut ke 5 Ogos depan.--fotoTHE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN.

SHAH ALAM: Inkues kes kematian setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang bermula pagi semalam di Mahkamah Majistret di sini ditangguhkan sehingga Rabu depan.

Penangguhan diputuskan Koroner Azmil Muntapha Abas kira-kira pukul 12 tengah hari setelah mendengar permohonan dan hujah daripada peguam mewakili keluarga Teoh dan peguam mewakili kerajaan Selangor supaya pihak mereka diberikan masa untuk mengkaji dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan semalam termasuk laporan DNA, bedah siasat dan forensik Teoh, gambar-gambar tempat kejadian dan gambar rakaman kamera video litar tertutup (CCTV).

Selain itu, Koroner akan turut membuat keputusan berhubung permohonan peguam keluarga Teoh untuk mendapatkan salinan kenyataan saksi-saksi pada hari yang sama yang sebelum itu dibantah oleh pihak pendakwaan.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dalam hujahnya berkata, pihaknya masih belum menerima dokumen-dokumen tersebut yang amat diperlukan bagi tujuan mendapatkan pandangan pakar.

"Kami memerlukan dokumen-dokumen tersebut termasuk laporan DNA, forensik dan bedah siasat untuk mendapatkan pandangan bebas.

"Kami mempunyai pakar untuk melakukannya dan ini membolehkan kami terlibat dengan prosiding ini dengan lebih berkesan," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati terjatuh dari bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, 16 Julai lalu selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor.

Permohonan Gobind turut disokong oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor dan peguam pemerhati daripada Majlis Peguam.

Selain itu katanya, keluarga Teoh menghadiri inkues pada hari ini dalam keadaan protes memandangkan mereka mahukan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh dan bukannya melalui inkues.

Gobind berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang notis berhubung inkues yang diadakan hari ini dan katanya, mengikut arahan amalan nombor 1 tahun 2007, mahkamah perlu mengeluarkan notis kepada pada ahli keluarga si mati sekurang-kurangnya dua minggu sebelum inkues bermula.

Kenyataan Gobind itu menyebabkan mahkamah ditangguh selama kira-kira sejam bagi membolehkan Koroner memeriksa dengan pihak Pendaftar Mahkamah sama ada sebarang notis dikeluarkan berhubung inkues hari ini.

Sementara itu, peguam yang dilantik mewakili kerajaan, peguambela dan peguamcara Tan Hock Chuan berkata, pihaknya bersedia membekalkan semua dokumen yang diperlukan kecuali kenyataan saksi-saksi.

Selain itu, Tan berkata, seramai 80 orang telah disapina untuk memberi keterangan sepanjang inkues yang dijadualkan selama dua minggu ini.

Berhubung laporan DNA yang telah diterima pihaknya, Tan berkata, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian belakang kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Sementara itu, satu lagi profil DNA daripada spesimen yang diambil daripada bahagian tali pinggang Teoh yang terkoyak mendapati terdapat campuran DNA yang menyamai spesimen darah Teoh dan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang tidak diketahui.

Tan berkata, seramai 102 orang telah diuji bagi menentukan sama ada DNA mereka menyamai DNA lelaki yang tidak diketahui itu.

"Saya diberitahu oleh ahli kimia bahawa keputusan ujian 90 orang telah pun siap dan ujian bagi 12 lagi individu lelaki akan dijalankan.

"Saya juga diberitahu oleh pegawai penyiasat, dua orang enggan memberikan spesimen contoh DNA mereka," katanya.

Bagi pihak kerajaan, Tan dibantu oleh oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Idham Abdul Ghani dan Justin Wee daripada pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, selain Gobind dan Karpal Singh, peguam lain bagi pihak keluarga Teoh adalah Ram Karpal dan Sankara Nair.

Kerajaan negeri Selangor pula diwakili empat peguam iaitu Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah, Sreekanth Pillai dan Asmah Yunos.

Seramai 12 peguam daripada Majlis Peguam akan turut mengikuti prosiding inkues ini sebagai peguam pemerhati.

Antara ahli keluarga Teoh yang hadir pada prosiding hari ini adalah ayahnya Teoh Leong Hwee; abang, Meng Kee; adik perempuan, Lee Lan dan tunangnya, Soh Cher Wei.

Artikel Lain