suria

Pembantu Exco Selangor ditahan SPRM maut jatuh bangunan

BANGUNAN Plaza Masalam, tempat kejadian Teoh Beng Hock terjatuh dan menemui ajal.--fotoTHE STAR
BANGUNAN Plaza Masalam, tempat kejadian Teoh Beng Hock terjatuh dan menemui ajal.--fotoTHE STAR
BANGUNAN Plaza Masalam, tempat kejadian Teoh Beng Hock terjatuh dan menemui ajal.--fotoTHE STAR

SHAH ALAM: Seorang lelaki ditemui mati selepas terjatuh dari bangunan Plaza Masalam di sini, bangunan yang menempatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14.

Mangsa dipercayai adalah Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah yang telah disoal siasat oleh SPRM petang semalam.

Mayatnya ditemui oleh penjaga bangunan kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di tingkat lima bangunan itu. Polis masih belum mengesahkan identiti mangsa, namun sumber daripada DAP mengesahkan mangsa adalah Teoh.

Menurut sumber polis, Teoh telah dibebaskan pada pukul 4 pagi tadi selepas ditahan semalaman. Teoh sepatutnya hadir semula hari ini bersama beberapa dokumen yang diminta oleh SPRM.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mengesahkan penemuan mayat itu berkata, polis akan menyoal siasat individu terakhir yang dilihat bersama Teoh.

"Tidak ada sebarang perkara yang diselindung dalam penyiasatan ini dan saya beri jaminan kepada keluarga mangsa dan masyarakat umum, kita akan menjalankan siasatan penuh mengenai kejadian itu.

"Kita telah meminta ahli patologi kerajaan dan swasta untuk hadir membantu siasatan ini," katanya.

Beberapa exco Selangor turut hadir di tempat kejadian tengah hari tadi.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan bertemu SPRM pada pukul 10 pagi esok.

Semalam, pegawai-pegawai SPRM menyerbu pejabat Ean Yong di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini. Mereka merampas sebuah komputer milik kerajaan negeri dan komputer riba peribadi milik Teoh.

Teoh, 30, yang merupakan bekas wartawan akhbar Sin Chew Jit Poh dibawa ke SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri itu.

Artikel Lain