suria

Kerajaan Pulau Pinang larang penggunaan pembungkus polisterin

PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang hari ini melarang penggunaan pembungkus makanan polisterin pada semua program rasminya bagi mengelakkan kesan negatif kepada alam sekitar dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh, berkata penggunaan polisterin itu bukan sahaja memudaratkan kesihatan pengguna dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar, malahan ia mudah dibawa angin ke merata tempat dan menjadi bekas yang menakung air hujan.

"Demi kepentingan orang ramai, kerajaan negeri membuat keputusan melarang penggunaan polisterin itu dan berharap pertubuhan lain akan memberikan sokongan dan mempraktikkannya," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Beliau berkata, jumlah kes denggi yang dilaporkan di negeri ini meningkat sebanyak 91.67 peratus pada minggu ke-22 tahun ini iaitu sehingga 6 Jun lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,380 kes denggi dilaporkan dan 479 daripadanya disahkan positif manakala dari 720 kes yang dilaporkan pada minggu yang sama pada 2008, 251 kes disahkan positif.

Phee berkata, setakat ini tiada kematian akibat denggi dilaporkan dan terdapat tiga kawasan wabak yang telah dikenalpasti iaitu Persiaran Mayang Pasir, Flat Seri Delima dan Medan Bayan Indah di Bayan Lepas.

Beliau berkata, aktiviti kawalan denggi ditingkatkan tahun ini dan sebanyak 2,709 premis didapati positif pembiakan nyamuk setakat ini berbanding 1,470 bagi tempoh yang sama tahun lalu. BERNAMA

Artikel Lain