suria

Perhilitan selamatkan biawak, tikus daripada diseludup

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang merampas 210 ekor biawak tikus dalam serbuan di sebuah ladang di Kampung Orang Asli Mencupu, Pekan, dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, jabatan itu menemui kesemua haiwan yang dilindungi bernilai RM10,500 dengan setiap seekor diikat dalam guni kecil.

Pengarah Perhilitan Negeri, Khairiah Mohd Shariff berkata ladang itu dipercayai dijadikan tempat simpanan sementara haiwan yang dilindungi itu sebelum diseludup oleh sindiket penyeludupan haiwan eksotik ke luar negara.

Bagaimanapun, dalam serbuan tersebut, anggota Perhilitan tidak menjumpai pemilik haiwan itu, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata biawak kini semakin terancam apabila menjadi buruan untuk diseludup sebagai hidangan eksotik di luar negara.

Khairiah berkata serbuan tersebut adalah susulan daripada penahahan seorang lelaki Asli di kampung berkenaan pada 15 April lepas yang menyimpan 34 ekor biawak tikus bernilai RM1,800 di belakang rumahnya.

Katanya pada hari yang sama, tiga lelaki yang menaiki sebuah lori turut ditahan di Batu 12, Jalan Kuantan-Gambang di sini bersama 1,202 ekor biawak tikus dan biawak air dipercayai diperolehi dari kampung tersebut untuk dipasarkan di luar negara. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain