suria

Dua peguam Hindraf antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan - Syed Hamid

KUALA LUMPUR: Dua peguam Hindraf adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan sert-amerta, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Beliau berkata mereka ialah V.Ganapathy Rao, 40; dan R. Kengadharan, 40, yang ditahan pada 13 Dis 2007.

Syed Hamid berkata tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Katanya, anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama, dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnnya berakhir tahun depan.

Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (Warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007.

Anggota Jemaah Islamiah yang dibebaskan ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003. Tempoh tahanan beliau sepatutnya berakhir pada 2011.

Syed Hamid berkata kesemua tahanan itu dibebaskan setelah kerajaan berpendapat mereka tidak lagi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Langkah itu juga bertujuan mengurangkan jumlah tahanan selain proses pemulihan mereka yang telah berjaya," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberi ucapan sulungnya menerusi RTM malam ini mengumumkan mengenai pembebasan 13 orang tahanan ISA itu yang berkuatkuasa serta-merta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain