suria

PGA rampas 1,056 lembu seludup sejak Disember lalu

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan merampas 1,056 ekor lembu bernilai RM4.26 juta yang diseludup dari negara jiran sepanjang Ops Wawasan bermula Disember lalu hingga semalam, kata Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Supt Rooslan Razi.

Katanya pada Disember sahaja, sebanyak 678 ekor lembu bernilai RM2.712 juta telah dirampas manakala bagi 1 Jan hingga semalam sebanyak 387 ekor lembu bernilai RM1.548 juta dirampas.

"PGA juga rampas 13 ekor kerbau dan 19 ekor kambing yang dibawa masuk secara haram dari negara jiran dengan nilai sebanyak RM74,500," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Rooslan selain rampasan lembu pihaknya juga merampas minuman keras, kain batik, kain tudung, tepung gandum, selipar dan dadah yang dibawa masuk dari Thailand.

Beliau berkata rampasan terbaru pada 11 malam tadi, membabitkan minuman keras sebanyak 984 botol yang dibungkus dengan plastik hitam bernilai RM14,760 berdekatan Pangkalan Haram Ibrahim Pencen, di sini.

Beliau berkata sebuah kereta jenis Proton Wira yang diguna untuk membawa minuman keras itu turut dirampas dan pemilik itu berjaya melarikan diri.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain