suria

LHDN: Majikan boleh buat pilihan bagi kurangkan potongan cukai

KUALA LUMPUR: Majikan diberi pilihan untuk membuat pelarasan ke atas saraan dengan mengambil kira elaun, perkuisit, pemberian dan manfaat yang dikecualikan daripada cukai termasuk yang diumumkan dalam bajet 2009 bagi mengurangkan potongan cukai bulanan pekerja.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata kebenaran pemilihan yang diberi kepada majikan adalah bertujuan untuk mengurangkan potongan cukai bulanan pekerja.

"Majikan bertanggungjawab membuat potongan daripada saraan pekerjanya pada setiap bulan berdasarkan jadual Potongan Cukai Berjadual yang ditetapkan, bagaimanapun mulai tahun ini majikan diberi pilihan untuk membuat pelarasan ke atas saraan dengan mengambil kira pelbagai perkara bagi membolehkan majikan mengurangkan potongan cukai bulanan pekerja mereka," katanya.

LHDN juga berkata majikan juga diberi pilihan untuk membuat pelarasan ke atas saraan dengan mengambil kira potongan dan rebat yang dibenarkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagaimana yang dituntut oleh pekerja melalui Borang PCB/TP1.

"Antara potongan dan rebat yang dibenarkan adalah perbelanjaan perubatan ibu bapa sendiri ke atas penyakit yang disahkan oleh pengamal perubatan (terhad RM5,000 setahun) dan pembelian komputer peribadi untuk individu di mana potongan dibenarkan sekali dalam setiap tiga tahun, terhad kepada RM3,000 sahaja," katanya.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi LHDN di talian 1300883010. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain