suria

Lapangan Terbang Thailand dibuka Rabu ini

BANGKOK: Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini, yang ditutup sejak 24 Nov lepas selepas dirampas oleh penyokong anti-kerajaan, akan dibuka semula secara berperingkat mulai 2 petang Rabu ini dan operasi sepenuhnya menjelang Jumaat ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Lapangan Terbang Thailand (AOT) Vudhibhandhu Vichairatana berkata penerbangan pertama dari Phuket akan mendarat di sini pada pukul 2 petang Rabu ini.

"Kami sedang melakukan apa yang terbaik untuk membuka semula lapangan terbang itu secepat mungkin. Ketika ini, pegawai kami sedang memeriksa segala aspek teknikal," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rasmi lapangan terbang itu selepas insiden rampasan oleh pemprotes anti-kerajaan.

Katanya, jika semua berjalan mengikut rancangan, penerbangan pertama Thai International Airways ke Rome akan berlepas pada 12.05 tengah malam Jumaat ini.

Terdahulu itu, pemimpin Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) Chamlong Srimuang menyerahkan lapangan terbang itu kepada Vudhibhandhu selepas ratusan penyokong PAD mula mengemas barangan mereka dan bersurai dari tempat itu.

Setakat 10 pagi ini, PAD juga menamatkan rampasan Rumah Kerajaan yang didudukinya selama tiga bulan serta Lapangan Terbang Don Muang di sini yang dirampas minggu lepas.

Berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan tiga parti utama pakatan kerajaan semalam, kumpulan pemprotes yang diketuai PAD memutuskan untuk menamatkan tunjuk perasaan jalanan selama enam bulan.

Mahkamah itu melarang Perdana Menteri Somchai Wongsawat daripada terbabit dalam politik selama lima tahun selepas partinya, Parti Kuasa Rakyat (PPP) bersama dua parti pakatannya, Machima Thipatai dan Chart Thai, dibubarkan atas kesalahan penipuan undi pada pilihan raya umum 2007 Lapangan Terbang Suvarnabhumi ditutup pada pukul 9 malam, 24 Nov lepas selepas penunjuk perasaan menduduki terminal dan memaksanya ditutup.

Sejak seminggu lepas, lebih 300,000 pelawat asing terkandas di seluruh negara itu selepas Lapangan Terbang Utapao di Pattaya, selatan Thailand, tidak dalam menampung bilangan besar pesawat penumpang.

Pegawai dan pekerja dari AOT, Thai Airways serta pekerja pembersih mula melakukan usaha mengembalikan lapangan terbang itu ke bentuk asal selepas pemprotes meninggalkan himpunan sampah dan membawa lari troli bagasi.

Bagaimanapun tiada tanda kerosakkan pada kaunter pendaftaran penumpang dan kemudahan lain di lapangan terbang tersebut.

Namun pegawai AOT berkata usaha sedang giat dilaksanakan untuk memulihkan semua penerbangan secepat mungkin tetapi ia mungkin mengambil masa selama seminggu untuk lapangan terbang itu beroperasi sepenuhnya.

Operasi kargo di lapangan terbang itu dimulakan semula hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain