suria

Banjir di Kelantan ragut lima nyawa, 1,623 orang dipindahkan

[DIKEMAS KINI] KOTA BAHARU: Walaupun baru empat hari banjir melanda Kelantan, namun sudah lima nyawa menjadi korban di negeri itu dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan kini seramai 1,623 orang.

Mangsa kelima adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Maharaja Bukit Abal, Mohamad Azdi Fikri Zakaria, 15, yang hanyut dibawa arus deras ketika berenang bersama lima rakannya di Sungai Bukit Abal, Pasir Puteh petang semalam, ditemui kira-kira pukul 3.10 petang tadi.

Keadaan Sungai Golok yang berada di atas paras bahaya sejak tiga hari menyebabkan banjir di Rantau Panjang, Tumpat tidak banyak berubah.

Terdahulu hari ini, mayat seorang penternak lembu, Osman Majid, 29, ditemui pada 11.30 pagi oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat setelah terjatuh di dalam sungai ketika memukat ikan di Peringat, di sini.

Di Pasir Mas, mayat pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Meranti, Salman Hakimi, 16 yang dihanyutkan arus deras ketika bermain air di rumahnya di Kampung Kubang Pak Itam, juga ditemui pukul 11.30 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan hilang 2.30 petang semalam.

BERITA TERDAHULU

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu bertambah buruk apabila lebih ramai lagi mangsa banjir di empat daerah dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata sehingga pukul 7 pagi ini jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan di negeri itu meningkat kepada 3,281 orang berbanding 1,966 petang semalam.

"Kuala Terengganu dan Marang paling teruk dilanda banjir setakat ini," katanya ketika dibunungi di sini hari ini.

Di Kuala Terengganu jumlah mangsa banjir ialah 1,531 orang berbanding 1,147 pada pagi semalam manakala di Marang jumlahnya meningkat kepada 999 orang berbanding 686 orang petang semalam.

Di Besut jumlah mangsa banjir juga meningkat kepada 643 orang berbanding 69 orang pada petang semalam dan jumlah mangsa di daerah Setiu pula meningkat kepada 108 berbanding tujuh orang pada petang semalam.

Jurucakap itu berkata 39 pusat pemindahan banjir telah dibuka di seluruh Terengganu iaitu 17 di Kuala Terengganu, masing-masing sembilan di Besut dan Marang dan empat di Setiu.

Beliau berkata tujuh jalan utama ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam antara 0.5 dan 1.5 meter.

Jalan-jalan berkenaan ialah Jalan Pengkalan Kubur-Kampung Tembila, Jalan Permaisuri Hulu Seladang, Chalok-Telaga Papan, Jalan Marang-Wakaf Tapai, Kuala Terengganu-Kota Baharu, Kuala Terengganu-Kota Baharu (di Lingai) dan Jalan Kampung Bahagia-Kampung Jeram.

Empat batang jalan yang lain pula ditutup kepada kenderaan ringan ialah Jalan Guntung Luar ke Saujana, Jalan Kampung Padang Air, Simpang 3 Kampung Tepoh dan Bukit Petiti manakala Jalan Bukit Payong kilometer 9 hingga km10 ditutup satu lorong.

Di Kelantan, seorang penternak lembu yang sedang memukat ikan di sungai berdekatan rumahnya di Peringat di sini ditemui lemas, menjadikan empat orang yang terkorban dalam banjir di Kelantan pada musim tengkujuh ini.

Mayat Osman Majid, 29, ditemui pada 11.30 pagi oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melancarkan gerakan mencari sebaik menerima laporan.

Di Pasir Mas, mayat pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Meranti, Salman Hakimi, 16 yang dihanyutkan arus deras ketika bermain air di rumahnya di Kampung Kubang Pak Itam, juga ditemui pukul 11.30 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan hilang 2.30 petang semalam.

Usaha masih diteruskan bagi mencari pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Maharaja Bukit Abal, Mohamad Azdi Fikri Zakaria, 15, yang dikhuatiri lemas ketika berenang bersama lima rakannya di Sungai Bukit Abal, Pasir Putih petang semalam.

Rakan-rakannya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

Sebelum itu, semua pusat pemindahan di jajahan Jeli telah ditutup pada 10.30 pagi ini tetapi bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan lain meningkat kepada 1,455 orang berbanding 1,208 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata Pasir Mas mencatatkan 1,082 mangsa di 12 pusat pemindahan diikuti Tumpat (271 orang), Kuala Krai (78 orang) dan Kota Baharu (24 orang).

Beliau berkata semua jalan yang ditenggelami air semalam kini boleh dilalui oleh semua kenderaan kecuali Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu.

Jurucakap itu berkata hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya iaitu pada 10.26 meter manakala tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada di bawah paras berjaga-jaga.

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain