suria

Anak lelaki Rais diarah failkan pengesahan cerai

KUALA LUMPUR:Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mengarahkan Dino Rais, 30, anak Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, memfailkan dokumen pengesahan lafaz cerai taklik kepada isterinya, Riza Ainurin Ramlan, 24.

Hakim Syarie Mohd Yunos Mohamad Zin, membuat keputusan itu selepas Dino memberitahu mahkamah bahawa dia ada menghantar lafaz cerai itu melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Perbicaraan bagi permohonan fasakh Riza Ainurin selaku plaintif terhadap Dino, yang sepatutnya diadakan hari ini terpaksa ditangguhkan disebabkan lafaz itu.

Dino hadir tanpa diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa dia telah menghantar SMS kepada isterinya, yang membawa maksud kepada penceraian secara taklik. Bagaimanapun, defendan gagal menyatakan tarikh sebenar SMS itu dihantar kepada plaintif.

Kedua-dua pihak, Riza Ainurin dan Dino, hadir ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Januari ini untuk perbicaraan bagi kes pengesahan lafaz cerai secara taklik.

Dino, seorang perunding teknologi maklumat berkahwin dengan Riza Ainurin pada 10 Nov 2007 dan dikurniakan seorang anak.

Riza Ainurin, memfailkan permohonan fasakh pada 15 Ogos lalu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita BN mula mesyuarat enam jam

Artikel Lain