suria

Jangan terlalu ghairah mahu ambil alih Kerajaan Pusat

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) harus mengutamakan usaha untuk memantapkan pentadbiran di kelimalima negeri di bawah Pakatan Rakyat daripada terlalu menumpukan perhatian kepada usaha mengambil alih pemerintahan kerajaan pusat, kata seorang wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) parti itu. Naib Ketua AMK Melaka Zamzirul Nordin berkata pada masa ini terdapat "kelonggaran" pada pentadbiran kelima-lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR), gabungan kerjasama PKR, DAP dan PAS.

Tidak semua pemimpin PR di kelima-lima negeri itu sudah cukup berpengalaman untuk memikul tugas dan amanah memimpin negara, bahkan ada di antara janjijanji pada pilihan raya umum ke 12 lepas masih belum ditunaikan, katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar ketua AMK pada Kongres Nasional sayap parti PKR itu di sini hari ini.

Zamzirul juga berharap AMK pusat dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada AMK di peringkat negeri atau bahagian terutama negerinegeri yang masih dikuasai oleh Barisan Nasional untuk menjalankan aktiviti bertujuan mengukuhkan parti seperti usaha menarik lebih ramai ahli baru.

Peruntukan itu perlu kerana kebanyakan ahli PKR bukan daripada golongan yang mempunyai pendapatan tetap bahkan ada di antara mereka yang dahulunya "berkereta kini berjalan kaki dan yang berbini kini menyendiri" yang merupakan tanda pengorbanan mereka kepada parti. Naib Ketua AMK Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir pula berkata selepas sembilan bulan Pulau Pinang diperintah oleh PR ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan tidak turun padang menjenguk rakyat di peringkat akar umbi.

"Para YB (Yang Berhormat) perlu ingat buat kerja untuk siapa, harap YB tumpukan pada rakyat jangan tunjuk macam pemimpin lampau," katanya.

Ahmad Azrizal berkata beliau berharap Ketua AMK Negeri dipilih oleh AMK bahagian dan bukan dilantik oleh ketua AMK pusat sebagaimana yang diamalkan sekarang. Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Johor Zabidie Abas berkata PKR perlu menarik artis atau penyanyi yang menjadi idola muda-mudi menyertai perjuangannya kerana mereka boleh meningkatkan pengaruh parti itu di kalangan masyarakat.

Beliau juga berkata, beliau pernah cuba memujuk jiran sekampungnya penyanyi Mawi menganggotai PKR tetapi Mawi enggan.

Penyanyi itu ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya selain memilih untuk bersikap neutral dalam politik.

AMK akan membawa dua usul ke Kongres Nasional Tahunan PKR esok.

Kedua-dua usul itu yang diluluskan sebulat suara oleh kira-kira 1,000 perwakilan tanpa bahas hari ini ialah usul perlaksanaan gaji minimum dan usul sistem pendidikan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain