suria

Mesyuarat cawangan Pengkalan Chepa dijadual berlangsung esok

KOTA BHARU: Umno Bahagian Pengkalan Chepa akan mengadakan semula mesyuarat peringkat cawangannya pada Khamis ini selama tiga hari setelah ditangguhkan pada 1 November lepas.

Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Zain Omar berkata mesyuarat itu diadakan setelah Badan Perhubungan Umno Kelantan mengeluarkan arahan tersebut dan ia akan dikendalikan oleh Badan Perhubungan Umno seperti yang diarahkan oleh ibu pejabat parti.

"Sebanyak 107 cawangan akan memulakan persidangan mereka dan saya berharap ia akan diadakan dengan tertib serta mengikut peraturan yang ditetapkan parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengerusi badan itu Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mengumumkan bahawa ibu pejabat parti telah mengeluarkan arahan supaya mesyuarat agung cawangan di bahagian Pengkalan Chepa diadakan semula ekoran terlalu banyak aduan yang diterima daripada bahagian berkenaan.

Berikutan itu, mesyuarat peringkat bahagian berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 1 November lepas ditangguhkan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanah Merah, Almidi Jaafar berkata, persidangan perwakilan Umno bahagian tersebut akan diadakan selepas mendapat keputusan mahkamah pada bulan depan.

"Mahkamah akan mendengar kes berhubung bahagian ini pada 3 Disember ini, selepas mendapat keputusan daripada mahkamah, kita akan menetapkan tarikh untuk persidangan bahagian," katanya.

Pada 8 Nov lalu, Mesyuarat Umno Bahagian Tanah Merah terpaksa ditangguhkan atas arahan ibu pejabat parti disebabkan seorang bekas anggota Umno, Abdul Rahman Ibrahim telah mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu bagi menghalang bahagian itu meneruskan persidangan.

Beliau menamakan 32 anggota di bahagian itu sebagai tidak sah untuk hadir kerana gagal menjelaskan yuran. BERNAMA

Artikel Lain