suria

Kongres Ekonomi Islam ke3 bentangkan kaedah perkasakan ekonomi ummah

PUTRAJAYA: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan menganjurkan Kongres Ekonomi Islam Ke-3 (KEI-3) bermula 19 hingga 22 Januari tahun hadapan bertujuan sebagai medium penting bagi menghasilkan idea bernas di dalam usaha memperkasakan ekonomi ummah sejagat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kongres yang kali terakhir dibuat 37 tahun yang lalu itu dijangka mampu menghasilkan resolusi yang relevan sekaligus menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan bagi menjadikan dasar, perancangan dan program ekonomi negara selaras dengan kehendak Islam.

Teks ucapan beliau telah dibaca oleh Timbalan Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim di sidang media kongres itu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini, hari ini.

"Secara dasarnya, penganjuran KEI-3 ini dijangka akan berupaya memberi suntikan baru kepada corak masa depan pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam negara ini.

"Pada masa yang sama, kongres ini juga dijangka boleh membantu memberi lonjakan baru kepada peranan institusi yang terlibat secara khusus dalam memantapkan serta meningkatkan pelaksanaan agenda ekonomi ummah negara ini," katanya.

Bertemakan "Menggerak Potensi Memperkasa Ekonomi Ummah", sebanyak 10 tajuk kertas kerja yang disediakan oleh 35 pembentang dari dalam dan luar negara termasuklah badan kerajaan, swasta, NGO, universiti serta ucaptama daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.

Seramai lebih kurang 300 individu akan dijemput menyertai kongres tersebut antaranya terdiri daripada tokoh pemikir, cendiakawan, ulamak, pemimpin politik, wartawan, korporat dan usahawan.

Selain KEI-3, YaPEIM juga bakal menganjurkan Festival Pembangunan Ekonomi Islam (i-Fest'09) yang dijangka bermula pada 22 hingga 25 Januari depan.

i-Fest'09 ini bakal melibatkan 285 buah gerai (booth) yang akan dibuka di Mid Valley Exhibition Centre yang membabitkan penglibatan dari pelbagai agensi kerajaan, badan-badan korporat, swasta dan Industri Kecil Sederhana (IKS).

"Antara objektif i-Fest'09 ialah sebagai platform untuk menyampaikan maklumat dan mempromosikan perkhidmatan atau produk, pencapaian semasa dan potensi di dalam bidang keusahawanan.

"Festival ini juga sesuai untuk membuat pemadanan sekaligus mewujudkan jaringan perniagaan di kalangan usahawan muslim dan institusi atau badan yang menawarkan produk dan perkhidmatan usahawan," kata Zahid.

Artikel Lain