suria

Indonesia lancar perang besarbesaran terhadap ubat kuat

JAKARTA: Sejak seminggu ini Indonesia melancarkan perang besar-besaran ke atas "ubat kuat" yang sering dicari lelaki kerana ia mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh membunuh iaitu 'sildenafil sitrat' dan 'tadalafil' yang didapati dicampur ke dalam ubat-ubatan tradisional dan makanan tambahan (supplement).

Badan Pengawasan Ubatan dan Makanan (BPOM) Indonesia menyenaraikan 21 jenama ubat kuat yang didapati dicampur bahan-bahan berbahaya itu.

Antaranya ialah Tripoten, Maca Gold, Rama Stamin, Urat Perkasa Kapsul, Lavaria, Blue Moon, Manovel, Lak Gao, Sari Madu Kapsul, Cobra X Kapsul, Sanomale, Otot Madu dan Kuat Tahan Lama Serbuk.

Tinjauan ke beberapa farmasi atau dikenali juga sebagai 'apotik' di sini mendapati sebahagian jenama itu dijual sebagai bahan pemakanan tambahan dan dengan mudah ditawarkan oleh jurujual wanita yang tidak segansegan menyebut ubat-ubat itu bertujuan 'menambah stamina pria'.

Ubat-ubat kuat dengan pelbagai jenama berbunyi nama tempatan dan asing juga memang dijual secara terbuka di puluhan kedai kecil dan gerai pinggir jalan yang mempamerkan papan tanda besar bertulis "Obat Kuat".

Menurut agensi berita Antara, setakat ini BPOM merampas lebih 200,000 kotak ubat tradisional dan pemakanan tambahan yang berkhasiat menambah stamina lelaki yang didapati mengandungi 'bahan kimia obat keras' di 19 wilayah.

Ketua BPOM Husniah Rubiana Thamrin Akib memberitahu sidang akhbar di sini barubaru ini bahawa kes kematian berpunca daripada memakan ubat penambah stamina lelaki itu bagaimanapun jarang dilapor kerana keluarga mereka keberatan dan tidak membenarkan pihak berkuasa menjalankan autopsi.

"Memang keluarga enggan diautopsi. Kadang kala kita hairan, ada anak muda usia 30an meninggal mendadak. Orang mengira kematian itu kerana serangan jantung. Padahal pemicunya apa itu yang jarang diungkap," katanya.

Beliau berkata ubat kuat yang diambil oleh lelaki boleh mengakibatkan kematian apabila lelaki itu memang menderitai sakit atau gangguan jantung atau sedang mengambil ubat bagi penyakit jantung.

Ubat kuat yang mengandungi bahan kimia sildenafil sitrat dan tadalafil tidak boleh dijual secara bebas dan boleh dibeli hanya dengan membawa preskripsi daripada doktor dan doktor pula memeriksa terlebih dahulu bagi memastikan mereka bukan menghidap penyakit jantung, katanya.

Husniah berkata BPOM akan merampas semua ubat kuat sama ada ubat tradisional mahupun pemakanan tambahan yang mengandungi bahanbahan kimia berbahaya itu dan penjual mahupun pengeluar tidak boleh memberi alasan tidak tahu adanya larangan mencampurkan kimia itu.

Beliau berkata dua industri farmasi dan 11 pengusaha jamu dikenalpasti akan dihadap ke mahkamah kerana tindakan mereka mencampurkan ubat tradisional dan pemakanan tambahan dengan bahan kimia berbahaya itu. BERNAMA

Artikel Lain