suria

Nur Jazlan Berikan saya peluang buktikan kemampuan

JOHOR BHARU: Pada umur 42 tahun, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebenarnya sudah kurang layak dikategorikan sebagai orang Muda.

Tetapi, dalam Umno, di mana sebagian besar pemimpin peringkat nasional - tidak termasuk Pemuda dan Puteri - rata-rata terdiri daripada mereka yang berumur 55 tahun ke atas, beliau tetap dilihat sebagai orang muda.

Lebih buruk lagi bagi Ketua Umno Bahagian Pulai itu, dari segi rupa paras, beliau memang kelihatan jauh lebih muda daripada umur, menyebabkan pengumuman mengejutnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno yang dibuatnya kira-kira sebulan lalu, dilihat sebagai satu gurauan atau joke oleh ramai pemimpin Umno di semua peringkat.

Hakikat bahawa beliau adalah anak Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas salah seorang supremo Umno ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu mungkin turut memainkan peranan menyebabkan ketrampilan beliau kurang menyerlah kerana dibayangi anggapan bahawa karier politik beliau dibantu oleh nama keluarga dan bukan atas kebolehan sendiri.

Mungkin beliau sendiri sedar akan kedudukan beliau di mata pemimpin dan ahli Umno, menyebabkannya mengambil langkah drastik mengumumkan akan bertanding jawatan nombor dua parti sebagai satu cara untuk menonjolkan diri agar kehadiran beliau dalam persada politik Umno disedari oleh mereka yang berpengaruh.

Dalam pertemuan dengan mStar Online, Nur Jazlan terus terang mengakui bahawa beliau tahu bahawa adalah hampir mustahil baginya memenangi pertandingan itu, tetapi berpendapat ia perlu dilakukan bagi menonjolkan semula nama Pulai yang kian tenggelam dari ingatan akar umbi Umno. Itu secara tidak langsung bermaksud beliau mahu nama beliau dikenali kerana seperti bapanya yang mengetuai bahagian itu selama 30 tahun, nama Nurjazlan telah sinonim dengan Pulai.

Nur Jazlan turut bercakap panjang lebar tentang betapa perlunya Umno mempunyai muka-muka baru sebagai pelapis kepada pemimpin-pemimpin masa kini menyebabkan beliau terpanggil untuk menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden.

Kenyataan seperti itu bagaimanapun adalah retorik politik yang telah digunakan oleh hampir setiap pemimpin yang baru ingin mencuba nasib merebut jawatan parti di peringkat pusat sebelum ini.

Yang jelas sebab utama mendorong beliau membuat kejutan itu ialah untuk mengetengahkan karier politik beliau sendiri.

Jika tidak masakan beliau memilih bertanding jawatan nombor dua dan tidak mencuba nasib bagi jawatan Naib Presiden yang mempunyai tiga tempat atau kerusi Majlis Tertinggi yang mempunyai 25 kekosongan.

Diaju soalan itu, Nur Jazlan menjawab pantas. "Dalam Umno hanya Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang mampu melakukan perubahan. Sebab itu saya hanya berminat untuk mencuba jawatan timbalan presiden."

Jawapannya yang seperti bercanggah dengan kenyataan awal bahawa beliau sedar tidak mungkin akan menang jelas menunjukkan tujuan sebenar beliau mengumumkan hasrat bertanding sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempromosikan karier politik beliau sendiri.

Dari segi publisiti dan tumpuan orang ramai, Nur Jazlan sudah berjaya mencuri pandangan umum. Sama ada beliau mendapat pencalonan atau sebaliknya, seperti yang akhirnya berlaku setelah lebih separuh daripada 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sehingga Sabtu, impak daripada pengumuman beliau itu dirasai daripada hari pertama pengumuman dibuat lagi.

Oleh sebab itu mesyuarat bahagian Pulai menjadi tumpuan media. Pengumuman Nur Jazlan menarik dari daripada pertandingan yang dibuatnya dalam ucapan perasmian mesyuarat bahagian itu Sabtu lalu juga menjadi tajuk berita-berita utama media.

Secara tiba-tiba nama Nur Jazlan dikenali ramai. Tetapi sama ada kesan daripada tindakan itu akan melonjakkan karier politik beliau ke tahap lebih tinggi atau menyebabkan beliau menerima padah, hanya masa akan menentukannya.

"Saya tidak takut. Kalau saya takut, saya tidak buat pengumuman mengejutkan itu," katanya ketika ditanya sama ada bimbang akan dihukum kerana tindakan beliau itu dilihat sesetengah pihak sebagai perecubaan memecahkan pencalonan dari Johor untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mendahului dua calon lain untuk jawatan itu dari segi pencalonan.

"Perlu ditegaskan, saya mengumumkan hasrat saya sebelum Tan Sri buat demikian. Saya juga seorang yang pragmatis. Saya faham mesej akar umbi. Mereka belum sedia menerima saya sebagai pemimpin, kerana itu saya tarik diri," tegasnya.

Pun begitu, beliau masih menyimpan harapan agar Umno memberikan beliau peluang untuk membuktikan kebolehan memimpin, sepertimana bapa beliau sebelum itu.

"Saya harap saya tidak akan dibandingkan dengan bapa saya kerana beliau diberikan peluang ketika berumur akhir 20-an. Jadi beliau mempunyai masa lebih 30 tahun untuk membuktikan kebolehan. Saya kini telah awal 40-an. Saya perlu diberikan peluang itu sebelum Umno menjadi tidak relevan lagi," katanya.

Nur Jazlan yang mengaku dirinya sebagai orang Malaysia yang menjadi pemimpin dalam sebuah parti Melayu tidak langsung menyembunyikan pendirian beliau yang tidak gemar dengan perjuangan Melayu ultra yang didokong sesetengah pemimpin Umno.

"Saya tahu pendirian saya tidak popular dalam Umno. Ini mungkin menjejaskan karier politik saya, tetapi apalah gunanya saya menjadi pemimpin jika saya tidak cuba mengubah minda orang Umno agar lebih realistik terhadap situasi dalam negara masa kini," katanya lagi.

Katanya, beliau tidak mahu meneruskan permainan politik tradisi Umno seperti yang dimainkan bapanya berpuluh tahun sebelum ini kerana ia terbukti tidak banyak menguntungkan orang Melayu sendiri, di samping masa telah berubah.

"Saya selalu katakan, Umno kini bukan lagi penentu mutlak hala tuju negara ini. Zaman itu telah berakhir. Kita hanya boleh berbuat demikian dengan berkompromi dengan bangsa lain.

"Ini bermakna Umno perlu lebih mendengar kehendak orang lain dan sanggup mengambil tindakan yang kadang-kala mungkin dilihat berkompromi dalam isu-isu hak bangsa kita.

"Saya berani katakan itu kerana saya jenis yang tidak takut mengambil risiko. Dalam hal seperti ini, saya menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad yang berani membuat keputusan tidak popular, walaupun ramai tahu saya tidak suka padanya," katanya lagi.

Ditanya apakah imej yang ingin beliau ketengahkan, Nur Jazlan berkata, yang penting beliau tidak mahu dikenali hanya sebagai anak Tok Mat dan tidak mahu dihormati kerana kumpulan yang beliau sertai.

Artikel Lain