suria

Nielsen Media arus perdana terus terajui arena media Malaysia

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Kaji selidik terbaru menunjukkan The Star, Harian Metro, Sin Chew Daily, Nanban, Radio Era dan TV3 menduduki tempat teratas dalam kategori masing-masing.

Kaji selidik oleh Nielsen Company (Malaysia) Sdn Bhd itu menunjukkan media arus perdana terus menguasai dunia media di negara ini, dengan siaran televisyen dan radio diikuti lebih 90 peratus penduduk Malaysia, manakala akhbar 54 peratus dan jumlah pengguna internet meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun lepas kepada nisbah dua daripada setiap 10 orang penduduk negara ini menggunakannya.

Kaji selidik itu menemubual 10,000 individu berusia 15 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia bagi tempoh Julai tahun lepas hingga Jun tahun ini, menurut Nielsen dalam satu kenyataan hari ini.

Kaji selidik itu juga mendapati peningkatan jumlah pembaca akhbar harian sejak lima tahun lepas, terutamanya berpunca daripada peningkatan pembaca akhbar harian berbahasa Malaysia iaitu sebanyak kira-kira 28 peratus.

Menurut kenyataan itu Harian Metro menduduki tempat teratas daripada segi jumlah keseluruhan pembaca dalam segmen akhbar berbahasa Malaysia iaitu sebanyak 15 peratus, diikuti Berita Harian (lapan peratus), Utusan Malaysia (tujuh peratus) dan Kosmo (tiga peratus).

Bagi segmen akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star mengekalkan kedudukan di tempat teratas dengan lapan peratus jumlah pembaca, manakala The New Straits Times dan The Sun mengekalkan jumlah pembaca masing-masing pada kadar dua peratus dan Malay Mail pada kadar kurang daripada satu peratus.

Akhbar Sin Chew Daily terus menduduki tempat teratas daripada segi jumlah pembaca bagi segmen akhbar berbahasa Cina iaitu pada kadar lapan peratus, diikuti China Press lima peratus, manakala jumlah pembaca Guang Ming Daily dan Nanyang masing-masing pada kadar dua peratus.

Bagi segmen akhbar harian berbahasa Tamil, Nanban mengatasi Tamil Nesan dengan jumlah pembaca sebanyak dua peratus, kata kenyataan itu.

Bagi saluran radio, ERA menduduki tempat teratas apabila meraih 28 peratus daripada keseluruhan jumlah pendengar, diikuti Hotfm 26 peratus.

SINAR, THR Raaga/THR Gegar, MY FM dan 988 masing-masing menduduki tempat ketiga hingga keenam, manakala Klasik Nasional menduduki tempat ketujuh.

Klasik Nasional juga muncul sebagai saluran RTM paling popular, diikuti Muzikfm, KELANTANfm, KEDAHfm dan aifm.

Kenyataan itu menyebut televisyen terus kekal sebagai media tontonan paling popular apabila menarik 94 peratus jumlah penonton.

Dalam segmen saluran percuma, TV3 terus menduduki tempat teratas apabila ditonton oleh 73 peratus jumlah keseluruhan penonton, diikuti RTM2 (52 peratus), RTM1 (42 peratus) dan NTV7 (40 peratus). TV9 dan 8TV masing-masing menarik penonton berjumlah 32 peratus dan 31 peratus.

Pengarah Eksekutif Nielsen Media Research Malaysia Andrea Douglas berkata media tradisional seperti media cetak, TV dan radio, terus mencatat pengikut paling ramai. "Tetapi, Internet akan menjadi sebahagian penting daripada media dan medium ini terus berkembang di pasaran," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain