suria

Tidak diberi RM5 lelaki parah dikelar

TAWAU: Gara-gara enggan memberi wang RM5, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an hampir terbunuh selepas lehernya parah dikelar oleh seorang remaja malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt. Ramli Ali Mat ketika ditemui Bernama di sini berkata kejadian di Taman Pelita itu berlaku kira-kira 10.30 malam ketika mangsa sedang berbual-bual dengan teman wanitanya yang berumur 20-an di kawasan sunyi di sekitar taman perumahan berkenaan.

Pasangan itu kemudian didatangi sekumpulan 10 remaja berusia belasan tahun lalu meminta diberikan wang RM5.

Bagaimanapun selepas mangsa memberitahu kumpulan remaja berkenaan bahawa dia tidak mempunyai wang, salah seorang daripada mereka mengeluarkan badik (sejenis pisau) lalu meletakkannya di leher mangsa.

Ramli berkata, ketika cuba melawan, pisau remaja tersebut mengelar leher mangsa mengakibatkan lehernya cedera parah.

Dalam keadaan panik, teman wanita mangsa menjerit meminta bantuan orang ramai yang kemudian menghubungi polis.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk diberi rawatan.

Sejurus selepas kejadian, polis melancarkan gerakan memburu kumpulan remaja berkenaan dan berjaya memberkas salah seorang daripada mereka malam semalam.

"Kita nasihatkan pasangan yang sedang bercinta supaya jangan berduaduaan di tempat sunyi kerana selain berdosa ia juga boleh mengundang kejadian yang tidak diingini," kata Ramli.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain