KUALA TERENGGANU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat, Alias Abdullah hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Marang pada pemilihan bahagian itu Sabtu ini.
Berikutan keputusan Alias itu, jawatan tertinggi bahagian berkenaan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar dan Adun Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad.
Bercakap pada sidang media di sini, Alias berkata beliau membuat keputusan itu bagi menumpukan perhatian untuk mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian itu yang dicabar bendahari bahagian, Nik Dir Nik Wan Ku.
"Keputusan yang saya ambil ini adalah atas kesedaran bahawa pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan perpecahan di kalangan anggota Umno Marang," katanya sambil menafikan keputusannya itu dibuat kerana merasakan tidak mempunyai harapan untuk menang.
Pada mesyuarat cawangan sebelum ini, Alias memperoleh 34 pencalonan bagi jawatan ketua bahagian manakala Yahya dan Abdul Rahman, masingmasing mendapat 52 dan 49 pencalonan.
Bagi jawatan timbalan ketua bahagian pula, Alias memperoleh 50 pencalonan manakala Nik Dir 47 pencalonan. BERNAMA


