suria

Zulkifli Nordin bidas pihak hina Islam

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Zulkifli Nordin hari ini membidas pihak-pihak tertentu yang dianggapnya sebagai menghina hal ehwal Islam.

Zulkifli (PKR-Kulim Bandar Baru) berkata ada pihak mempertikaikan tulisan jawi dan menyokong seseorang yang mahu murtad sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum dalam negara.

Katanya ada kumpulan tertentu yang kelihatan tidak menghormati masyarakat Islam, sehingga berani mencabar apa saja berkaitan agama Islam termasuk mencemar perayaan Aidilfitri dengan membuat tuntutan yang tidak sepatutnya.

"Ada orang akan cakap saya berucap ini seolah-olah menyokong pihak lain tapi sebenarnya saya berjuang untuk agama Islam. Saya tidak peduli pandangan orang lain sebab nanti saya yang akan menjawab di hadapan Allah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya Majlis Peguam juga tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara apabila menyokong pihak tertentu yang mahu keluar dari agama Islam tanpa menghiraukan kenyataan bahawa badan berkenaan mempunyai lebih 40 peratus anggota yang beragama Islam. Zulkifli berkata Majlis Peguam turut mengadakan forum terbuka untuk membincangkan hal ehwal Islam sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama, baru-baru ini.

"Isu agama adalah sesuatu yang sensitif dan ia tidak boleh dibincangkan melalui forum terbuka atau mengadakan pembahasan mengenainya," katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan supaya Artikel 3 dan 11 (1) Perlembagaan Persekutuaan dipinda supaya keutuhan agama Islam terpelihara dan tidak dicabar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari Rabu nanti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain